Halaman

06 October 2013

Golongan belia sangat beruntung – YB Rozi

Oleh; Esah Abdullah
Gambar oleh Zulkipli Putra

Golongan belia merupakan golongan yang sangat beruntung kerana mendapat perhatian daripada kepimpinan negeri dari pelbagai sudut bantuan kewangan dan sokongan moral.

YB Haji Rozi (kanan) melihat kad keahlian Belia 4B Malaysia Terengganu yang baru diperkenalkan oleh YB Iskandar.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Rozi Mamat berkata, kerajaan membelanjakan RM1.2 juta untuk menjalankan aktivit belia di negeri ini.

Amanat yang disampaikan YB Rozi kepada belia seluruh negeri pada majlis Mesyuarat Agung Tahunan Pergerakan Belia 4B Malaysia Terengganu Ke-41.
“Kerajaan juga memperuntukkan RM20 juta setahun di bawah Program Bakti Remaja,” katanya di majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pergerakan Belia 4B Malaysia Terengganu Ke-41, di Stadium Tertutup , Kompleks Sukan Gong Badak semalam.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri, Enci Rosli Yusof; Komanden Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), Mejar Abdul Aziz Yahya dan Pengerusi Majlis Belia Negeri Terengganu, Encik Zaidi Muda.

Katanya, orang muda perlu menjadikan setiap cabaran dan kekurangan yang dihadapi sebagai proses mematangkan diri serta sedia berubah menjadi lebih matang dan bersikap terbuka.

“Negeri dan negara memerlukan pemimpin pelapis yang berdaya saing serta berwawasan dan golongan muda hari ini merupakan sandaran kepimpinan akan datang,” katanya.

Katanya, jangan persiakan pengorbanan kerajaan yang berhabis berjuta ringgit bagi melaksanakan program membina jati diri serta ketahanan fizikal dan mental golongan muda agar meneruskan perjuangan demi agama, bangsa dan negara.

YB Haji Rozi seterusnya berharap kepimpinan baru dalam Belia 4B dapat memikul amanah dan tanggung jawab sebaik mungkin serta melaksanakan aktiviti di peringkat cawangan secara menyeluruh.

“Saya yakin kepimpinan baru ini mampu berbuat sesuatu untuk mengembalikan keyakinan dan kesedaran orang muda untuk mempertahankan kemakmuran dan keamanan negara yang sebenarnya berada di tangan mereka,” katanya.

Dalam pada itu lapan kawasan Belia 4B iaitu kawasan Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman masing-masing menerima bantuan pentadbiran RM1,000 setiap kawasan yang disampaikan oleh YB Haji Rozi.