Halaman

10 October 2013

BBK tumpu lima sektor penting

Oleh: Aida Abd Rahman

Pelaksanan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) pada tahun ini menumpukan kepada lima sektor penting yang merangkumi perkhidmatan awam, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan, masyarakat bukan Melayu, serta golongan belia dan remaja.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Prof Dr Zaharani Ahmad, berkata BBK menjadi satu acara tahunan negara bagi memperkasakan dan memartabatkan bahasa kebangsaan.

“Pada tahun ini, sambutan BBK bertemakan Bahasa Kebangsaan 1 Bahasa, 1 Bangsa, 1 Negara bertepatan dengan gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri, iaitu Gagasan 1Malaysia adalah berasaskan prinsip-prinsip yang telah dipersetujui dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

“Sehubungan dengan itu, untuk makluman semua, terdapat lima objektif utama yang menjadi fokus kepada pelaksanaan Bulan Bahasa Kebangsaan pada tahun ini, iaitu pertama, BBK diselenggarakan untuk menyegarkan semangat kecintaan masyarakat terhadap bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu dan bahasa pengungkapan budaya tinggi serta bahasa komunikasi sosial dan perpaduan,” katanya di Majlis Pelancaran BBK Peringkat Negeri Terengganu, di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir merasmikan majlis itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan Tokoh Bahasa dan Felo Institut Alam Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dato’ Teo Kok Seong.

Selain itu, katanya, gerakan BBK merupakan pengisian penjiwaan dan penghayatan Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan serta ketiga, bagi mengeratkan dan memperkukuhkan perpaduan bangsa Malaysia menerusi kegiatan kebahasaan dan kesusasteraan.

Katanya, BBK juga dapat menyegarkan kecintaan dan kemegahan terhadap bahasa kebangsaan dan menyerlahkan fungsi serta peranan bahasa dan sastera kebangsaan sebagai salah satu tonggak pembinaan tamadun bangsa dan negara.

“Bagi menyemarakkan semangat Bulan Bahasa Kebangsaan pada tahun ini, Jawatankuasa Penyelenggara BBK 2013 peringkat Negeri Terengganu yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah merangka tujuh program pengisian BBK.

“ Program tersebut seperti Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Terengganu 2013, Malam Bahasa Jiwa Bangsa, Pameran Penerbitan dan Kepustakaan serta Jualan Buku; Indahnya Pantun (di Radio FM Terengganu) dan  Kolokium Persuratan Melayu Pesisir Laut: Sayembara Menulis Cerpen Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Wilayah Timur untuk (Kategori Terbuka dan Pelajar sekolah Menengah)," katanya.