Halaman

30 October 2013

9,000 kanak-kanak bakal khatam al-Quran

Oleh: Suriati Ali 

Yayasan Islam Terengganu (YIT) akan menganjurkan Majlis Khatam al-Quran Kanak-kanak Tabika peringkat Terengganu di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu, pada 2 November ini.

Kira-kira 9,000 kanak-kanak tadika dijangka menyertai program tahunan yang bakal dirasmikan Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi II, Dato' Seri Idris Jusoh itu.

 Bilangan itu melibatkan kanak –kanak berusia 5 dan 6 tahun daripada empat gabungan tadika iaitu Yayasan Islam Terengganu (YIT), Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) dan Jabatan Perpaduan dan Integriti Nasional.

Pelbagai persembahan sampingan diadakan, termasuk nasyid, dikir berbahasa Arab, bacaan al-Quran secara qira’at, bacaan Yasin serta perterjemahan dan penyampaian sijil.

 Pengarah YIT, Md Kamaru Al- Amin Ismail, berkata pihaknya bangga kerana program yang dianjurkan lima tahun berturut-turut itu bukan saja dapat meningkatkan jumlah penyertaan malah mendapat sokongan pelbagai pihak terutama ibu bapa.

“Pada tahun lalu, seramai 8,000 kanak-kanak daripada empat tadika sama berjaya khatam al-Quran dengan sempurna.

“Pertambahan kanak-kanak khatam al-Quran tahun ini adalah di atas kesedaran ibu bapa terhadap pentingnya pembelajaran al-Quran dalam membentuk minda anak-anak sejak di awal usia lagi,” katanya.