Halaman

19 October 2013

7,938 perwakilan pilih pemimpin bahagian hari ini

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Seramai 7,938 perwakilan daripada lapan bahagian di negeri ini menghadiri persidangan Umno bahagian masing-masing hari ini bagi memilih pemimpin bahagian.

Mereka juga bakal memilih perwakilan ke Perhimpunan Agung Umno (G7) di Kuala Lumpur dan Naib Presiden Umno Pusat serta Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno.

Tujuh daripada lapan bahagian Umno di negeri ini menyaksikan pertandingan bagi jawatan ketua bahagian.

Hanya jawatan Ketua Umno Bahagian Besut tidak berlaku pertandingan apabila seorang saja calon, YB Nawi Mohmad mengemukakan borang pencalonan bagi jawatan tersebut manakala penyandang, Dato’ Seri Idris Jusoh mengemukakan borang pencalonan bagi jawatan Naib Ketu Umno Bahagian Besut.

Mesyuarat perwakilan Umno bahagian akan diadakan di bahagian masing-masing dan bermula serentak jam 8.30 pagi dikuti proses pengundian selepas pendaftaran.

Setiap bahagian membuka empat saluran mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk memberi keselesaan perwakilan membuang undi untuk memilih pemimpin bahagian dan Pusat.

Proses membilang undi akan diadakan di bahagian masing-masing sebaik selesai perwakilan membuang undi dan keputusan dijangka dapat diketahui pada sebelah malam.

Pada persidangan tahun ini, 21,694 orang perwakilan Umno bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri di Terengganu membuat penentuan pemimpin masing-masing di mana perwakilan bagi sayap parti telah pun bersidang pada 12 Oktober lalu.

Daripada jumlah itu seramai 7,938 orang merupakan perwakilan bahagian, Wanita (5,098) Pemuda (4,927) dan Puteri 3,731 orang.

Pada tahun ini, kesemua perwakilan berkenaan membuat pemilihan mengikut sistem yang baru diperkenalkan bagi memilih pemimpin peringkat bahagian dan pemimpin tertinggi Umno.