Halaman

09 September 2013

Tesdec perkenal dua kursus baru

 Oleh: Suriati Ali

 Pusat Latihan Kemahiran Terengganu (Tesdec) merancang akan memperkenalkan dua kursus baru iaitu Teknologi Solar dan `Deep Sea Water Diving’ bermula tahun depan.

Pengerusi Lembaga Pengarah Tesdec, YB Mohd Mahdi Musa, berkata perancangan itu lahir setelah melihat kepentingan dan keperluan dalam industri berkaitan serta berkait dalam kehidupan harian masyarakat.

“Setakat ini kita masih dalam kajian dan perbincangan untuk melaksanakan kursus ini dan jika tidak ada aral kita akan membuat pengambilan pelajar tahun depan.

 “Berdasarkan kursus yang bakal ditawarkan itu, ia mampu menjana atau memperoleh pendapatan melebihi RM1,000 sebulan, sekiranya benar-benar serius dengan tugas yang dipertanggungjawabkan,” katanya yang juga Timbalan .

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Malam Seribu Kenangan bersama Haji Che Razali Adis di Hotel Tabung Haji, Gong Badak, Kuala Terengganu, malam tadi.

Sebelum itu, Majlis Penyerahan Tugas antara Haji Che Razali Adis (bertukar ke Yayasan Pembangunan Usahawan) dan Haji Rozali Salleh sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Tesdec baru bermula semalam (8 September) diturut diadakan.

YB Mohd Mahdi turut memberitahu Tesdec menyediakan strategi jangka pendek dan jangka panjang bagi memenuhi keperluan pusat latihan itu untuk berkembang dan mampu bersaing mengikut matlamat ditetapkan kerajaan.

 “Srategi berkenaan berasaskan kehendak ekonomi dan pasaran kerja semasa agar setiap pelatih yang tamat latihan, mampu bersaing dan berjaya merebut peluang yang ada.

 “Strategi jangka pendek berasaskan perancangan semasa kerajaan negeri pada setiap tahun di mana pada tahun ini Terengganu dijangka menerima pelaburan asing dalam tiga sektor utama iaitu bioteknologi, minyak dan gas dan perkilangan.

 “Berasaskan daripada perkara itu, Tesdec telah merangka beberapa program kemahiran kepada belia lepasan sekolah dan juga program peningkatan kemahiran berasaskan industri untuk lepasan ijazah dan diploma bagi memastikan tenaga kerja terlatih dapat dikeluarkan selaras dengan perkembangan ekonomi negeri,” katanya.