Halaman

08 September 2013

TATiUC tawar kursus penuhi kehendak pasaran semasa

Oleh: Noraini Jusoh

Kolej Universiti Tati (TATiUC) komited dalam membantu anak Terengganu memperoleh pekerjaan yang bersesuaian dengan kelayakan mereka dengan menawarkan kursus yang memenuhi kehendak pasaran semasa.

Rektor TATiUC, Dr Zunaidi Ibrahim (gambar) berkata, dalam usaha menjadi sebuah universiti teknikal penuh menjelang 2015, kursus yang ditawatkan TATiUC samada kursus jangka pendek atau panjang lebih kepada membekalkan kemahiran dan membuka peluang pekerjaan kepada pelajarnya terutama golongan belia negeri ini.

"Banyak kursus dan program yang ditawarkan untuk kebaikan rakyat Terengganu sendiri contohnya yang berkaitan minyak dan gas yang bertepatan dengan kehendak industri setempat contohnya di sekitar Kemaman ini.

"TATiUC juga dikelilingi banyak kilang yang berkaitan dengan bidang kejuruteraan dan kita berharap pelajar berpeluang bekerja ditempat berkenaan setelah menamatkan pengajian nanti,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Merdeka Raya Sempena 20 Tahun Penubuhan Kolej Universiti Tati (TATiUC) bersama anak-anak syarikat yang berlangsung di Dewan Canselor TATiUC, Kemaman, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah TATiUC, Bazlan Abd Rahman.

Menurut Dr Zunaidi, peluang untuk menambah jaringan kerjasama antara TATiUC dengan syarikat sekitar seperti mengadakan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) turut dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Katanya, ramai pelajar TATiUC yang telah menjalani latihan praktikal di syarikat-syarikat sekitar institusi berkenaan seperti di Petronas, EPIC dan sebagainya.