Halaman

22 September 2013

PPKN moden dan green city

Oleh; Esah Abdullah 

Kedudukannya yang hanya 14 kilometer dari Kuala Terengganu merupakan satu kelebihan kepada Pusat Pembangunan Kuala Nerus (PPKN) kerana boleh diakses melalui jaringan jalan raya yang baik.

Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) Dato’ Haji Adzlan Mohd Dagang berkata, adalah menjadi matlamat membangunkan satu badar pentadbiran daerah yang berprestij dan berdaya maju serta menarik untuk didiami dengan penerapan konsep ‘moden dan green city’.

“Terdapat dua buah universiti iaitu Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di tapak kajian,” katanya di majlis pelancaran Perasmian Pelancaran Publisiti Draf Rancangan Kawasan Khas Pusat Pentadbiran daerah Kuala Nerus di Dewan Sivik Padang Nanas, Kuala Terengganu.

Di samping itu katanya, turut mempunyai empat jalan masuk utama terdiri daripada pelbagai arah termasuklah dari utara melalui Kampung Padang Nenas dan taman perumahan mudah akses ke kawasan utara manakala dari timur melalui kawasan Perindustrian Gong Badak mudah akses ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud.

Selain itu dari barat melalui Kampung Baluh mudah akses ke Lebuhraya Pantai Timur dan selatan melalui Kampung Padang Air mudah akses ke laluan Persekutuan 3.

“Bilangan populasi yang tinggi di kawasan kajian ini telah memberi impak yang besar kepada pembangunan yang dirancang dalam menyediakan pelbagai prasarana yang lebih lengkap dan mutu perkhidmatan lebih baik untuk kegunaan dan keselesaan penduduk kelak.

“Parit besar yang sedia ada dapat dijadikan elemen reka bentuk bandar yang boleh ditambah baik sebagai daya tarikan lanskap bandar manakala kepelbagaian tumbuh -tumbuhan sedia ada dapat memberikan keindahan dan kehijauan di kawasan kajian,” katanya.

Menurutnya, Luas keseluruhan kawasan PPKN ialah 462.76 ekar yang terdiri daripada tanah milik kerajaan dan berada dalam lingkungan pentadbiran MBKT.

“Mempunyai jumlah penduduk 419,300 orang menjelang 2015 daripada enam mukim iaitu Batu Rakit, Belara, Kuala Nerus, Manir, Pulau Redang dan pulau-pulau dan dijangka meningkat kepada 467,500 orang menjelang 2020.

Katanya, pembangunan ini selari dengan matlamat pembangunan daerah Kuala Terengganu untuk menjadi kawasan MBKT yang maju dan sejahtera menjelang 2020.