Halaman

23 September 2013

Penduduk tempatan beri sokongan kepada pasukan Walk4Malaysia

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Penduduk tempatan memberi sambutan meriah kepada peserta Walk For Malaysia (Walk4Malaysia) yang bermula pagi semalam, bagi memastikan pesertanya, terutama Mohd Noor Mat, tiba di Putrajaya seperti yang dirancang.

Kakitangan Yayasan Islam Terengganu (YIT) itu tidak keseorangan dalam merealisasikan misinya untuk berjalan kaki dari Kuala Besut ke Putrajaya kerana dia sentiasa turut ditemani pejalan kaki lain.

Penduduk tempatan melambaikan tangan dan memberi tepukan gemuruh kepada Mohd Noor dan pengiringnya ketika melalui perkampungan mereka. Mohd Nor yang mula berjalan kaki dari Dataran Kuala Besut jam 9 pagi semalam tiba di lokasi pertama iaitu Masjid Merang, kira-kira jam 11 malam tadi.

Beliau berhenti rehat dan bermalam di situ, sebelum meneruskan perjalanan bagi hari kedua, kira-kira jam 8.45 pagi tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut,Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman menyempurnakan acara pelepasan program Walk4Malaysia di Dataran Kuala Besut, Besut, pagi semalam.

Mohd Nor diiringi lebih 50 peserta terdiri daripada atlet Sukan Malaysia (Sukma), Kakitangan Majlis Sukan Negeri Terengganu dan belia sepanjang misi selama dua minggu itu.

Mereka dijadualkan berjalan kaki sejauh 600 kilometer dan akan singgah di beberapa lokasi terpilih, termasuk Merang, Setiu; Batu Burok (Kuala Terengganu); Mercang (Marang); Paka (Dungun) dan Chukai (Kemaman).

Seterusnya mereka akan berehat di beberapa lokasi di Pahang sebelum ke Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur dan ke Putrajaya untuk menamatkan perjalanan.

Semalam Mohd Noor menghadapi sedikit masalah bagi meneruskan perjalanan kira-kira 20 kilometer terakhir kerana kakinya melecet.

Bagaimanapun, dengan berbekalkan semangat kental dan doa seluruh rakyat Terengganu, beliau berjaya menamatkan misi pada hari pertama dan bermalam di lokasi yang ditetapkan.

Hari ini beliau dijadualkan tiba di Dataran Batu Buruk sama ada pada sebelah petang atau malam, dan berehat sebelum meneruskan perjalanan ke Mercang, Marang.