Halaman

25 September 2013

Pejalan kaki Walk4Malaysia menuju ke Paka

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Peserta Walk For Malaysia (Walk4Malaysia) meneruskan misi untuk ‘menawan’ Putrajaya dengan berjalan kaki sejauh 58.5 kilometer hari ini menuju ke Paka, Dungun.

Acara pelepasan peserta disempurnakan oleh Pegawai Daerah Marang, Haji A.Rahman Che Ali, kira-kira jam 8.30 pagi di Dewan Sivik Merchang.

Peserta utama Walk4Malaysia, Mohd Noor Mat dilaporkan dalam keadaan sihat dan penuh semangat untuk melunaskan nazarnya berjalan kaki dari Kuala Besut ke Putrajaya.

Kakitangan Yayasan Islam Terengganu (YIT) itu bersama 40 peserta Majlis Sukan Negeri Terengganu yang meneruskan perjalanan dari Dataran Batu Burok selamat tiba di Dewan Sivik Merchang, Marang tepat jam 5.55 petang semalam dan berehat di situ sebelum meneruskan misi bagi hari keempat hari ini.

Lebih 100 pelajar dari tiga sekolah menengah di daerah Marang turut memeriahkan acara pelepasan pagi ini yang turut dihadiri beberapa pemimpin kanan Umno bahagian Marang.

Peserta Walk4Malaysia dijadualkan berjalan kaki sejauh 600 kilometer dan bakal singgah lagi di beberapa lokasi terpilih, termasuk Chukai, Kuantan, Gambang, Maran, Temerloh dan Genting Sempah.

 Seterusnya mereka akan berjalan kaki ke Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur dan ke Putrajaya untuk menamatkan perjalanan.