Halaman

23 September 2013

Kerajaan negeri peruntuk dana RM137 juta perkasa usahawan Terengganu

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu memperuntukkan dana hampir RM137 juta untuk melaksanakan pelan tindakan strategi lima tahun pembangunan keusahawanan bagi memperkasakan usahawan di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Pembangunan Usahawanan (YPU) Terengganu, Che Razali Adis (gambar) berkata, mengikut strategi lima tahun (2013-2017) itu, lima teras diberi tumpuan termasuk meningkatkan akses kepada dana usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), meningkatkan pasaran, menambah jaringan komuniti dan budaya keusahawanan serta menambah akses kepada infrastruktur.

“Daripada jumlah tersebut, sejumlah RM55.5 juta disediakan untuk meningkatkan akses kepada dana usahawan PKS yang melibatkan 2390 usahawan, RM35.5 juta untuk meningkatkan pasaran (3370 usahawan) dan RM16 juta pula untuk menambah nilai aktiviti dan daya saing PKS.

“Program meningkatkan jaringan komuniti dan budaya keusahawanan pula diperuntukkan RM2.6 juta dan melibatkan 11,200 usahawan manakala RM13.4 juta pula bagi menambah akses kepada infrastruktur yang melibatkan 73 premis,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan sempena Majlis Perasmian Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Peringkat Zon Timur dan Festival Coklat dan Bakeri 2013 di Pusat Dagangan Terengganu, baru-baru ini.

Katanya, pelan pembangunan lima tahun berkenaan merupakan Aku Janji Barisan Nasional (BN) Terengganu pada manifesto Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

“Pelan pembangunan tersebut akan memberi kemudahan serta meningkatkan daya saing lebih 22,430 usahawan di negeri ini yang akan mendapat manfaat selama lima tahun,” ujarnya.