Halaman

15 September 2013

Guru BI ikuti kursus insentif seiring dengan PPPM

Oleh; Esah Abdullah 

Inisiatif kerajaan untuk menghantar guru Bahasa Inggeris (BI) mengikuti kursus insentif adalah satu langkah bijak dalam usaha meningkatkan kemahiran seiring dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang sedang dirangka.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Encik Zakaria Hussin berkata, langkah berkenaan merupakan transformasi kerajaan ke arah mengangkat martabat bahasa kedua itu sejajar dengan PPPM.

Beliau mengakui ada kalangan guru yang mengajar subjek BI bukan dalam pengkursusan bahasa tersebut tetapi disebabkan masalah kekurangan guru, mereka perlu mengajar subjek berkenaaan.

Menurutnya, mungkin itu antara faktor yang menyebabkan wujud guru yang tidak berkemampuan mengajar subjek itu dengan baik.

“Kita akui ada kalangan guru-guru bukan pengkhususan dalam BI sebelum ini, tetapi disebabkan wujud masalah kekurangan guru di sekolah-sekolah terbabit menyebabkan perlu mengisi kekosongan yang ada.

“Namun, langkah kerajaan untuk menghantar mereka ini mengikuti kursus intensif adalah satu pendekatan yang baik kearah meningkatkan kemahiran kalangan guru tersebut dan seterusnya merealisaikan PPPM,” katanya.

Sebelum itu terdapat laporan dalam akhbar menyatakan hanya satu pertiga daripada 61,000 guru Bahasa Inggeris berkemampuan untuk mengajar subjek itu dengan baik.

Sehubungan itu, Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, kementerian memandang serius perkara itu dan akan berusaha untuk meningkatkan kemahiran guru Bahasa Inggeris.

Katanya, seramai 61,000 guru Bahasa Inggeris perlu mengikuti Ujian Cambridge Placement (CPT) untuk mengetahui kemampuan mereka bertutur dan mengajar bahasa Inggeris.

"Namun, kita tidak dapat lari daripada kenyataan hanya satu pertiga daripada mereka yang layak mengajar. dan kita akui kelemahan ini dan akan memperbaikinya. Ia selaras dengan anjakan yang ingin dilaksanakan dalam PPPM iaitu memastikan setiap murid menguasai bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua,” katanya.