Halaman

27 September 2013

Bebaskan masjid dari pengaruh kepartian – Sultan Mizan

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menintahkan agar masjid-masjid di seluruh negeri dijadikan sebagai institusi yang bebas daripada pengaruh politik kepartian yang boleh membawa kepada sikap berpuak-puak di kalangan umat Islam.

Baginda bertitah larangan tersebut perlu dipatuhi semua pihak kerana ia bertentangan dengan Maqasid as-Syar’iyyah atau tujuan masjid didirikan.

 “Beta berharap supaya unsur atau simbol yang melambangkan politik kepartian hendaklah dibersihkan daripada masjid dan kawasan sekitarnya,” titah baginda sewaktu merasmikan Masjid As-Saalikin Sungai Udang, Dungun hari ini.

Hadir sama Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Mohd Zubir Embong; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, ketua-ketua jabatan dan pembesar negeri.

Sultan Mizan turut menitahkan supaya umat Islam di negeri ini memelihara imej masjid sebagai rumah Allah yang mulia dan suci.

 “Peranan dan imej masjid hendaklah dipulihkan kembali sebagai institusi yang bukan sahaja kawasan aman, suci, tenangdan indah, tetapi lebih utama berperanan sebagai penggerak utama dalam proses perubahan sikap ummah dalam membentuk akhlak yang mulia,” ujar beliau.

Baginda turut meminta rakyat negeri ini supaya kembali menghayati ajaran al-Quran terutama bagi memupuk dan mengukuhkan roh perpaduan di kalangan umat Islam.