Halaman

11 September 2013

22,359 murid duduki UPSR

Oleh: Suriati Ali

Seramai 22,359 orang murid menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang bermula, semalam sehingga Khamis di 381 buah pusat peperiksaan di seluruh Terengganu..

 Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Encik Ahmad Syukor Mansur berkata, daripada jumlah itu, 21, 521 calon menduduki peperiksaan di Sekolah Kebangsaan, 434 calon di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina manakala 404 calon di sekolah swasta.

Katanya, sebanyak 183 calon UPSR merupakan calon orang kurang kelainan (OKU) terdiri daripada mereka yang rabun, pekak, buta serta cacat anggota.

"Pada tahun ini juga, enam buah pusat peperiksaan di hospital dibuka iaitu di setiap daerah kecuali daerah Marang di mana calon-calon berkeperluan dari daerah itu akan di bawah ke daerah ini.

 "Setakat hari ini, hanya sembilan calon menduduki peperiksaan antaranya di hospital di daerah ini dan seorang calon yang menghidap apendiks menduduki UPSR di Hospital Kemaman," katanya.

 Tambah beliau, hasil pemantauan petugas JPNT, kesemua pusat peperiksaan UPSR di seluruh negeri ini berada dalam keadaan baik serta peperiksaan berjalan dengan lancar.

 Jelasnya, tiada laporan calon tidak hadir peperiksaan diterima sehingga kini dan beliau berharap calon dapat hadir sehingga peperiksaan tamat.

 "Saya juga sempat melawat ke Sekolah Kebangsaan Kubang Ikan dekat sini pagi tadi dan saya lihat persediaan pihak sekolah amat baik dengan kelengkapan fizikal calon untuk menduduki peperiksaan dalam keadaan sempurna.

"Kerjasama petugas peperiksaan juga baik selain tiada gangguan daripada keadaan luar sekolah dan saya harap calon dapat menjawab kertas ujian dengan cemerlang," jelasnya.