Halaman

09 August 2013

Umno ucap Selamat Hari Raya kepada pengundi PRU-13

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Umno Terengganu mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua pengundi di negeri ini yang menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang lalu.

Ketua Penerangan Umno negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman, berkata pihaknya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mereka, terutama yang mengundi calon-calon BN sama ada di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) mahu pun Parlimen.

 “Umno Terengganu berharap para pengundi akan terus memberi sokongan dan memilih calon-calon BN pada pilihan raya akan datang,” katanya kepada Teganukita.

Beliau yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan berkata, pihaknya juga terharu dengan sokongan pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut yang memberikan sokongan padu hingga calon BN menang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN tersebut baru-baru ini.

“Dengan sokongan padu pengundi di kawasan itu, BN bukan saja mengekalkan DUN Kuala Besut, tetapi kita juga meraih majoriti yang lebih besar,” katanya.

Beliau berharap sempena Syawal yang mulia ini penduduk di Terengganu merapatkan silaturahim dan mengetepikan perbezaan politik sesama mereka.

 “Marilah kita sama-sama menyambut hari raya tahun ini dengan penuh rasa syukur dan bermaaf-maafan antara satu sama lain,” katanya.