Halaman

07 August 2013

“ Saya ada dua lagi anak lelaki yang masih kecil dan memang berhajat nak beli kasut, baju melayu serta songkok untuk mereka” Terima kasih MB


 Seramai 1,573 penduduk miskin sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri Kijal menerima Dana Hari Raya berupa wang tunai RM300 bagi mengurangkan beban ketika menghadapi Aidilfitri yang dijangka esok.       Sumbangan itu disampaikan Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Ahmad Said baru-baru ini.
  Bagi seorang warga emas, Mohamad Ibrahim, 63, sumbangan itu sememangnya sesuatu yang dinanti-nantikan kerana beliau ingin membeli barangan keperluan Aidilfitri untuk seorang anaknya, yang juga OKU.  Pakcik berterima kasih sangat dengan rezeki ini, dan terima kasih banyak-banyak kepada kerajaan negeri Terengganu kerana sudi bagi bantuan kepada orang susah macam pakcik ni.
  " Selain itu, pakcik ingat nak belanja duit ini untuk beli barang-barang dapur juga," kata Mohamad, yang bekerja sebagai pencuci tandas bagi menampung perbelanjaan bulanan.
  Sumbangan itu turut menggembirakan hati seorang ibu, Cik Mek Mamat, 59, kerana boleh digunakan bagi membeli pakaian dan kuih raya untuk 10 anaknya.
  "Mak cik baru pindah ke Kijal ini, dan ini adalah bantuan Dana Raya pertama yang mak cik terima daripada kerajaan negeri Terengganu.
  "Alhamdulillah, boleh mak cik beli macam-macam untuk anak-anak kerana mak cik ni dah tua, anaklah yang perlu diberi perhatian untuk Aidilfitri ini," kata Cik Mek yang tinggal di Lubuk Lesung.
  Seorang lagi penerima, Norijan Husin, 44, pula berkata sumbangan Dana Raya pada hari-hari terakhir ketika umat Islam menyambut Ramadan itu memberi sinar dalam persiapan keluarganya menyambut ketibaan Syawal.
 "Saya ada dua lagi anak lelaki yang masih kecil dan memang berhajat nak beli kasut, baju melayu serta songkok untuk mereka," katanya Sementara itu, Dato’ Seri Ahmad dalam ucapannya berharap Dana Raya dapat meringankan beban kewangan penerima dan dimanfaat untuk kegembiraan sekeluarga. Roslan AR