Halaman

31 August 2013

Lebih 5,000 penduduk meriahkan sambutan ambang merdeka

Oleh: Aida Abd Rahman

Lebih 5,000 penduduk seluruh Terengganu membanjiri Sambutan Ambang Merdeka Sempena Hari Kemerdekaan ke-56 2013 di Taman Shahbandar, Kuala Terengganu, malam tadi.

Acara bermula dengan persembahan nyanyian dan tarian artis kebudayaan negeri serta deklamasi puisi.

Lagu Negaraku berkumandang dan dinyanyikan bersama oleh orang ramai yang membanjiri kawasan itu, sebaik jam menunjukkan tepat detik 12 tengah malam, sekaligus menandakan bermula tarikh 31 Ogos.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Mohd Zubir Embong dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta beberapa Ahli Parlimen.

Hadir sama, ketua jabatan, pegawai kerajaan serta pemimpin politik tempatan.

Sejurus nyanyian lagu Negaraku dan upacara menaikkan Jalur Gemilang, Menteri Besar kemudiannya melaungkan `merdeka’ sebanyak tujuh kali sebelum kehangatan malam dimeriahkan lagi dengan tembakan bunga api ke udara.

Percikan bunga api yang berwarna-warni menghiasi ruang udara kira-kira 10 minit turut diiringi dengan nyanyian lagu patriotik sebelum diakhiri dengan lagu tema kemerdekaan pada tahun ini ‘Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku'.