Halaman

19 August 2013

Rakyat perlu sambut baik kempen kibar bendera-MB

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said memasang Jalur Gemilang pada beca roda tiga  selepas melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena Sambutan Hari Kemerdekaan ke-56 peringkat negeri di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu.
Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra

Masyarakat pelbagai kaum di negeri ini diminta menjadikan acara Kibar Jalur Gemilang sebagai satu budaya setiap kali menjelang sambutan Bulan Kemerdekaan tanpa menunggu kempen yang dianjurkan oleh kerajaan.

 Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said berkata, sebagai warga Malaysia, setiap rakyat perlu menyambut baik kempen itu sebagai satu kewajipan dan tanda terima kasih kepada negara.


Menurutnya, orang ramai tidak perlu segan-silu untuk mengibarkan bendera Malaysia di mana sahaja, sama ada di sekolah, rumah, pejabat, kedai malah pada kenderaan sendiri.

"Jangan harapkan bendera percuma, hadiah pertandingan dan habuan lain atau notis daripada pihak kerajaan sebagai syarat untuk kita kibarkan Jalur Gemilang.

 "Apa salahnya kita berbelanja untuk tunjukkan rasa cinta kepada negara atau lebih dari itu kita sendiri yang keluarkan belanja untuk beri kepada orang lain, " katanya.


Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran kempen Kibar Jalur Gemilang sempena Sambutan Hari Kemerdekaan ke-56 peringkat negeri di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, petang ini.

Dato' Seri Ahmad turut memberitahu, menerusi usaha tersebut, ia akan menjadikan masyarakat lebih bertanggungjawab untuk menghormati dan memelihara maruah negara.

 "Dalam hal ini, saya melihat bahawa sikap masyarakat yang menganggap Jalur Gemilang hanya sesuai dikibarkan di sekolah dan bangunan kerajaan juga harus dikikis kerana amalan mengibar bendera merupakan tanggungjawab bersama," ujarnya.


Majlis yang dihadiri lebih 5,000 pengunjung pelbagai lapisan masyarakat hadir menjayakan majlis yang diserikan dengan upacara perarakan masuk 56 Bendera Malaysia oleh Batalion ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja Malaysia (RAMD) dan penyerahan Jalur Gemilang kepada semua Pegawai Daerah.

 Tema bulan kemerdekaan ke-56 `Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku’ bersifat perpaduan dan berorientasikan kepada patriotik dan kesatuan negara bangsa.