Halaman

06 August 2013

Penjawat awam ingkar akan dikenakan tindakan

Oleh: Noraini Jusoh

Walaupun musim Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut telah berakhir, namun terdapat segelintir kakitangan awam di negeri ini yang dalam diam menyokong pembangkang menampal pelekat dengan simbol parti pembangkang di kenderaaan masing-masing.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah berkata, pihaknya ada menerima laporan masih ada kakitangan awam yang tidak membuang pelekat berkenaan walaupun musim pilihan raya sudah berlalu.

"Mereka seharusnya tidak mempamerkan sokongan terhadap mana-mana pihak dengan menggunakan pelekat yang terdapat simbol parti kerana boleh mengundang pelbagai persepsi negatif.

"Sebagai kakitangan kerajaan, tindakan displin boleh dikenakan terhadap mereka yang melanggar etika sebagai seorang penjawat awam,” ujarnya kepada Teganukita.

Katanya, beliau menasihatkan kepada penjawat awam berkenaan supaya membuang segala pelekat yang mempunyai lambang parti kerana ia hanya digunakan pada musim pilihanraya sahaja.

"Sebagai penjawat awam, selepas pilihanraya kita hendaklah menyokong kerajaan yang dipilih iaitu Kerajaan Barisan Nasional,” katanya.