Halaman

10 August 2013

Penduduk pangsapuri Ladang Gemilang, gembira dapat beraya lebih selesa

Oleh: Suriati Ali

Penduduk Pangsapuri Ladang Gemilang, Kuala Terengganu bersyukur dan gembira apabila dapat menikmati kehidupan lebih selesa menjelang Aidilfitri nanti, hasil kebijaksanaan kerajaan negeri dalam menyelesaikan isu pengambilan tanah di kawasan itu.

 Berbeza ketika tinggal di kawasan perumahan lama, penduduk terpaksa berhimpit di rumah yang sempit, menumpang di tanah kerajaan atau orang, pengurusan sampah-sarap yang tidak cekap dan tiada kawasan meletak kereta yang sesuai.

 Penghuni pangsapuri itu, Wan Amal Firdaus Wan Muhammad, 26, berkata dia cukup selesa tinggal di pangsapuri itu, kerana banyak kemudahan awam berdekatan, seperti hospital, sekolah dan yang paling penting berada di tengah pusat bandar raya Kuala Terengganu.

“Saya tidak lagi segan untuk menjemput rakan datang beraya, kerana ruang rumah bukan saja luas, malah kawasan persekitaran yang mengadap arah laut itu, bersih dan selamat daripada sebarang jenayah.

 “Apabila mendapat tahu ayah dipilih tinggal di pangsapuri ini, kami adik beradik cukup gembira kerana tempat baru ini ramai kawan dan saudara-mara yang sememangnya mudah untuk minta pertolongan.

“Rumah kami dulu agak sempit, lagi pun ayah, Wan Muhammad Wan Muda, 51 menyewa tanah milik orang, jika ingin besarkan ruang rumah agak sukar kerana tidak mendapat persetujuan,” katanya.

 Wan Amal turut memberitahu, kerajaan membina pangsapuri ini lengkap dengan dua kemudahan lif di mana terdapat satu lif besar dan kecil.

 “Jika ada pihak tertentu yang menyatakan jenazah sukar diturunkan dan terpaksa dikendong, itu hanya kenyataan bohong dan penipuan yang sengaja diwujudkan,” katanya.

 Seorang lagi pemilik, Puan Mariani Musa, 52, menyifatkan dia bertuah kerana terpilih tinggal di pangsapuri itu yang sangat selesa berbanding tempat tinggal lama.

 “Sebagai anak jati Kampung Ladang, kita patut bersyukur dan berterima kasih dengan pemberian dan sikap cakna kerajaan negeri yang sememangnya tidak mahu orang Melayu keluar dari kampung asal masing-masing.

 “Jika kita tidak mahu tinggal di pangsapuri ini, lebih ramai lagi yang mahu dan menanti peluang untuk berbuat demikian. terutama di kalangan bangsa lain.

“ Cuba perjelaskan, kawasan mana yang boleh tawarkan harga sewa beli pangsapuri yang selesa dan terletak di tengah-tengah bandar raya seumpama ini, serendah RM300 sebulan, di mana harga sepatutnya yang ditawarkan antara RM600 hingga RM800 sebuah,” katanya.