Halaman

29 August 2013

Pelajar di Mesir tanggung sendiri risiko jika enggan pulang

Dato' Seri Haji Ahmad Said
Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kerajaan negeri mengingatkan semua pelajar Terengganu yang masih berdegil dan enggan pulang dari Mesir walaupun sudah dinasihatkan berbuat demikian, perlu menanggung sendiri risiko jika berlaku kejadian tidak diingini sepanjang di negara sedang bergolak itu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata beliau mendapat maklumat masih terdapat kira-kira 800 penuntut Malaysia di Mesir termasuk pelajar tajaan dan persendirian yang belum pulang walaupun keadaan negara itu semakin bergolak.

"Kita terima maklumat masih ada 800 pelajar kita yang enggan pulang walaupun selepas dinasihatkan. "Saya tidak tahu sebab kenapa mereka tidak mahu balik. Mungkin disebabkan mereka yakin dengan keselamatan mereka tetapi mereka perlu menanggung risiko sendiri jika berlaku kejadian tidak diingini,"katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman antara Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dan Huaxicun di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengarah Unit Pembangunan Ekonomi Negeri Terengganu (Upen) Dato’ Haji Mat Razali Kassim dan Pengurus Besar Ketengah, Haji Wan Mat Amin Wan daud.

Dalam perkembangan lain, kerajaan negeri akan menghantar seramai 17 pegawai dan kakitangan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan Institut Al Quran (IQ Terengganu) Terengganu ke Arab Saudi bagi mempelajari bahasa Arab.

Menurutnya, penghantaran mereka berkursus selama sebulan pada September ini dalam usaha meningkatkan kemahiran dan penguasaan bahasa Arab di kalangan pegawai dan kakitangan berkaitan.