Halaman

05 August 2013

MKJR anjur kempen keselamatan jalan raya sempena musim perayaan

Oleh: Suraya Abd Sukor 

 Dalam usaha untuk mengurangkan kadar kesesakan dan kemalangan jalan raya di kalangan pengguna, Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Negeri Terengganu telah mengadakan Kempen Keselamatan Jalan Raya 2013, di hadapan Dewan Sivik Kampung Jabi, Besut, petang semalam.

 Kempen yang merupakan kerjasama Jabatan Keselamatan Jalan Raya Negeri Terengganu bersama agensi-agensi Kerajaan dan Badan-badan NGO dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi, YB Mohd Iskandar Jaafar.


 Beliau berkata, kesesakan lalu lintas semasa musim perayaan berpunca daripada aliran trafik masuk ke negeri Terengganu di mana anak perantau yang pulang beraya di kampung masing-masing.

“Antara faktor lain yang menyebabkan kesesakan jalan raya kerana kekurangan papan-papan tanda sama ada papan tanda keselamatan atau amaran di kawasan-kawasan yang kerap berlaku kemalangan maut dan papan tanda di kawasan pembinaan jalan.

 “Kita telah mengenal pasti beberapa tempat di negeri Terengganu yang telah banyak berlaku kemalangan maut dan kesesakan disebabkan dua faktor tersebut yang menjadi kebiasaan menjelang musim perayaan,” katanya kepada TeganuKita. 

Selain itu, beliau menyeru semua pengguna jalan raya agar mematuhi undang-undang sedia ada dan menjadi pengguna yang berhemah, selain mengamalkan sikap tolak ansur antara semua pengguna jalan raya.

 “Saya berharap agar agensi kerajaan, terutamanya Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk memperbanyakkan papan-papan tanda di beberapa tempat yang dikenal pasti sebagai kawasan kemalangan maut di seluruh negeri.

 “Selain itu, saya berharap agar pihak di atas dapat perbanyakkan papan-papan tanda yang memberi amaran kepada pengguna jalan raya mengenai kawasan-kawasan pembinaan jalan atau pelebaran bahu-bahu jalan,” katanya.

 Sebanyak 2000 risalah berkaitan kempen keselamatan jalan raya dan ‘ole-ole’ diedarkan kepada pengguna jalan raya yang menghala ke Kuala Terengganu dan Kota Bharu, semasa kempen tersebut berlangsung.