Halaman

07 August 2013

Bantuan pelajaran Maidam untuk asnaf fakir mualaf sahaja

Oleh: Aida Abd Rahman

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) telah mengubah dasar bantuan pelajaran dari asnaf fisabilillah kepada asnaf fakir mualaf sahaja berdasarkan konsep keutamaan (al-aulawiyyat).

Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Dato’ Mohd Rozali Saleh, berkata bantuan pelajaran di bawah asnaf fisabilillah tidak lagi dikeluarkan, sebaliknya asnaf fisabilillah ini akan diberikan tumpuan kepada yang lain.

 “Biasiswa, dermasiswa dan bantuan Maidam terbahagi kepada dua kategori iaitu pelajar tajaan Maidam dan pelajar persendirian serta kedua-duanya di bayar di bawah asnaf fisabilillah.

“Hasil penelitian yang dibuat mendapati dari 95 orang pelajar tajaan Maidam yang mengikuti tiga program, iaitu program Memperkasakan Ulamak, Program Pakar Sakit Puan dan Program Mahasiswa Ansar, hanya 55 orang sahaja yang termasuk dalam kategori anak-anak asnaf serta bantuan pengajian akan diteruskan dan dibayar di bawah asnaf fakir dan miskin,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Sementara itu, Dato’ Mohd Rozali berkata, bakinya seramai 40 orang tidak termasuk dalam kategori anak-anak asnaf fakir miskin serta mereka akan dipindahkan kepada Yayasan Terengganu.

Beliau berkata, bagi memastikan pelajar berkenaan meneruskan pengajian, Maidam bersetuju menyalurkan peruntukan sebanyak RM2.5 juta di bawah asnaf fisabilillah atas nama sumbangan Tabung Pendidikan Negeri kepada Yayasan Terengganu (YT).

 “Dengan peruntukan yang disalurkan kepada YT itu, maka terpulanglah kepada YT menimbangkan kepada mereka untuk menyediakan bantuan pendidikan itu sebagai biasiswa atau pinjaman,” katanya.

Dato’ Mohd Rozali berkata, bagi pelajar persendirian pula, jika mereka termasuk dalam asnaf fakir miskin, bantuan pengajian akan diteruskan berdasarkan kadar, bidang dan tempat pengajian yang telah ditentukan.

Katanya, bantuan tiket balik juga hanya disediakan kepada pelajar persendirian yang tamat pengajian dengan membawa bersama ijazah sementara sebagai bukti.