Halaman

30 August 2013

500 tidak berganjak tonton Forum Perdana


Teks dan gambar: Aminudin Ismail

Ustaz Norhisham (kiri) bersemangat ketika menyampaikan ceramah sambil di perhatikan oleh Ustaz Badlishah (kanan) dan ustaz Ramli.
“SETIAP warga negara ini dikehendaki menghormati bendera negara sebagaimana yang berlaku di zaman Rasulullah di mana para sahabat begitu menyanjungi bendera Rasulullah sehinggakan mereka berlumba-lumba untuk menyambut bendera baginda yang hampir terjatuh menyebabkan tangan-tangan sahabat di potong satu persatu.

“Sehubungan itu, penduduk di negara ini perlu menghormati dan mencinta bendera (Malaysia) kerana bendera adalah symbol kepada Islam di zaman Rasullullah,” kata Ustaz Badlishah Alauddin ketika berceramah di Forum Perdana Pekan Budaya Daerah Setiu 2013, di Sungai Tarom, Bandar Permaisuri, malam semalam.

Kira-kira 500 penonton hadir menyaksikan forum perdana itu tidak berganjak dari tempat duduk masing-masing sehingga forum tamat kerana tertarik mendengar ceramah dari ahli panel.

Sebahagian penonton yang datang menyaksikan Forum Perdana di Sungai Tarom, malam semalam.
Forum Perdana yang bermula kira-kira jam 9.30 malam itu juga turut menampilkan seorang lagi penceramah iaitu Ustaz Syed Norhisham Al-Idrus manakala pengerusinya ialah Ustaz Ramli Nuh, bekas Ahli Dewan Undangan (Adun) Tepoh.

Forum yang bertajuk “Syawal Dirai Merdeka Di Hayati” itu membincangkan soal kemerdekaan negara di mana penceramah menitikberatkan soal menghayati erti kemerdekaan dan meminta orang ramai bersama-sama mengekalkan keamanan yang dinikmati negara sekarang.

Ustaz Norhisham pula menyarakan supaya sebagai umat Islam penduduk negara ini perlu membina kekuatan Islam bagi mempastikan umat Islam akan terus dihormati dengan meniru cara hidup Nabi Muhammad s.a.w. 

Mengakhiri ceramah, pengerusi majlis, Ustaz Ramli Nuh mahu semua pihak bersama-sama menjaga keamanan negara dan menghayati erti kemerdekaan supaya Malaysia akan terus maju dan makmur tanpa berlaku sebarang perkara yang tidak diingini yang boleh memusnah kemerdekaan.