Halaman

28 August 2013

500 HADIR RUMAH TERBUKA AIDILFITRI PPD SETIU

Teks dan gambar oleh Aminudin Ismail.

Kipayatul Allah (berdiri,tengah) sedang melayani tetamu yang hadir.
SETIU: Kira-kira 500 warga pendidik dan tetamu jemputan hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2013 Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Setiu diadakan di perkarangan pejabat itu, Putera Jaya, di sini, semalam. 

Majlis yang bermula jam 10.30 dan berakhir jam 2 petang itu, turut dihadiri oleh wakil Pejabat Pelajaran seluruh Terengganu yang mengadakan mesyuarat pengurusan sekolah serta pegawai dari beberapa jabatan kerajaan daerah Setiu.

Jurucakap PPD Setiu berkata, kehadiran dua wakil rakyat (YB) iaitu Dato’ Sabri Mohd Nor, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Ahli Parlimen Setiu, Che Zulkifli Jusoh serta bekas Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu, Ariffin Embong, memeriahkan lagi suasana.

“Sambutan kali ini lebih bermakna kerana ia pertama kali ia diadakan di pejabat baru PPD Setiu yang terletak berhampiran dengan Kolej Universiti Bestari (UCB). Pejabat PPD Setiu baru itu dibuka akhir tahun lalu,” katanya.

Menurutnya, antara juadah yang disediakan ialah nasi minyak, nasi ayam kampung, nasi dagang, ketupat, tapai dan pelbagai kuih muih.

Para tetamu di sambut oleh beberapa kakitangan PPD Setiu yang dIketuai oleh Pegawai Pelajaran Daerah Setiu, Kipayatul Allah Dato' Mohd Said.