Halaman

30 August 2013

3000 hadir Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Langkap

Teks dan gambar: Aminudin Ismail.

Ahmad (empat dari kiri), Sabri (kiri) dan Zulkifli bersama isteri masing-masing memotong kek.

SETIU: Seramai kira-kira 3,000 tetamu dari pelbagai lapisan masyarakat hadir memeriahkan majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2013 Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap yang diadakan di Pekan Sungai Tong, di sini, semalam.

Majlis yang bermula jam 11 pagi itu turut dihadiri Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Ahmad Said dan isteri Toh Puan Norliza Mahmud yang tiba kira-kira jam 11.30 pagi.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Setiu, Che Zulkifli Jusoh, pegawai-pegawai kerajaan dan penduduk setempat.

Pada majlis itu tetamu dihidangkan dengan pelbagai juadah antaranya ialah nasi minyak, nasi dagang, ketupat, tapai dan kuih muih.

Suasana bertambah meriah apabila Ahli DUN Langkap, Dato’ Sabri Mohd Nor dan isteri menghulurkan duit raya kepada semua kanak-kanak yang hadir.

Sabri sedang membahagikan duit raya kepada kanak-kanak.

Acara memotong kek sempena perasmian majlis turut dilakukan oleh Menteri Besar , Dato’ Sabri, Che Zulkifli bersama isteri masing-masing.

Dalam ucapan ringkasnya, Dato’ Sabri mengucapkan ribuan terima kasih kepada Dato’ Ahmad Said kerana sudi meluangkan masa hadir ke Rumah Terbuka Aidilfitri 2013 Dun Langkap serta kepada semua tetamu yang hadir.

Sementara itu, dalam ucapan ringkasnya, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said memberi jaminan akan menunaikan setiap janji pilihanraya Barisan Nasional baru-baru ini dengan memberi pembangunan kepada daerah Setiu.