Halaman

23 July 2013

Yakin PRK Kuala Besut berpihak kepada BN

Oleh: Noraini Jusoh

Proses pembuangan undi Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan Dewan Undangan Negeri Kuala Besut yang menyaksikan pertandingan satu lawan satu di antara calon Barisan Nasional (BN) Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman dengan calon PAS Endot@Azlan Yusof akan berlangsung esok (24 Julai).

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil, YB Ghazali Taib berkata, beliau yakin PRK kali ini akan berpihak kepada Barisan Nasional (BN).

"Pengundi-pengundi di Kuala Besut dapat melihat sendiri kesungguhan jentera BN bekerja dan dapat menilai siapa yang sepatutnya disokong.

"Pada masa yang sama, apa yang telah dilaksanakan oleh BN di Kuala Besut khususnya calon BN yang terdahulu sudah terbukti sangat cemerlang,”ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah Showme Skills Malaysia Competition 2013 di Hotel Permai Kuala Terengganu, hari ini.

YB Ghazali yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Inovasi & Tugas-Tugas Khas negeri berkata, calon yang ditampilkan BN merupakan calon yang mempunyai pakej lengkap sebagai seorang wakil rakyat.

"Tengku Zaihan seorang calon yang berkebolehan dalam khidmat masyarakat, mempunyai akademik yang baik, personaliti yang menarik serta datang dari keluarga yang mempunyai latar belakang agama yang kukuh.

"Beliau juga mendapat sokongan daripada orang muda dan ini sangat penting kerana secara tidak langsung menandakan beliau boleh memahami jiwa orang muda masa kini,” ujarnya.

Katanya, beliau yakin Tengku Zaihan adalah seorang anak muda yang berwawasan dan tahu apa yang hendak di buat untuk Kuala Besut.

"Saya harap pengundi di Kuala Besut dapat membuat pilihan yang tepat demi kepentingan penduduk Kuala Besut,” ujarnya.