Halaman

24 July 2013

Ubi Vitato ganti tepung gandum

Oleh; Esah Abdullah 

Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) berjaya menghasilkan produk makanan berasaskan ubi keledek Vitato untuk ke pasaran terbuka.

Pengurus Pusat Inkubator Mardi Besut, Encik Mohd Saiful Nizam Hussein berkata, teknologi yang dihasilkan oleh kumpulan penyelidik Mardi itu kini sedang giat dikomersialkan kepada syarikat yang berminat.

“Sebanyak empat syarikat telah menunjukkan minat terhadap program pengkomersialan produk berasaskan ubi berkenaan,” katanya.

Sehingga ini katanya, Mardi telah mengeluarkan dua teknologi yang menggunakan Vitato sebagai bahan asas iaitu produk bakeri terdiri daripada empat produk iaitu donut, bun,biskut dan juga muffin.

Menurutnya, Mardi sedia membimbing pengusaha tempatan yang berminat dengan menggunakan segala kemudahan yang disediakan oleh Mardi bagi melatih mereka dalam menghasilkan produk makanan siap menggunakan bahan berkenaan.

“Latihan akan disediakan yang mengambil masa dua tahun itu bermula daripada pencarian bahan mentah sehinggalah kepada teknik pemasaran bagi memastikan mereka benar-benar berjaya dan mampu berdikari,”. katanya.

Menurutnya, terdapat hampir 80 hektar ladang ubi Vitato ditanam di negeri ini dengan kadar pengeluaran 20 tan bagi keluasan 0.4 hektar.

Katanya, produk berasaskan ubi Vitato ini merupakan bahan terbaik serta berpotensi besar mengantikan tepung gandum untuk dijadikan bahan menghasilkan pelbagai produk makanan.