Halaman

10 July 2013

Tindakan peniaga jejas reputasi songket Terengganu : MB

Wartawan mengajukan soalan kepada Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said pada sidang media selepas Mesyuarat Mingguan Exco, hari ini.
Oleh: Aida Abd Rahman dan Nurul Suraya Abd Sukor (Pelatih)
Gambar oleh Zulkipli Putra

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said kesal dengan tindakan segelintir peniaga songket di negeri
ini yang tidak memikir kesan jangka panjang tindakan mereka menipu pelanggan apabila menawarkan songket India yang didakwa mereka sebagai songket asli buatan Terengganu.

 Tindakan peniaga terbabit bukan sahaja boleh menjatuhkan reputasi songket Terengganu yang sudah terkenal di serata dunia, malah mengakibatkan warisan nenek-moyang itu gagal dipertahankan.

“Sejak dulu lagi songket Terengganu merupakan hasil tenunan Terengganu yang cukup mendapat pengiktirafan antarabangsa dengan kehalusan seni tenunannya.

 “Tetapi sikap tamak peniaga songket itu sendiri yang ingin menjual benda murah dengan harga yang mahal dengan laba yang lebih, merek asanggup membawa masuk songket India,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Dato’ Mohd Rozali Saleh dan Pengerusi TDM Berhad, Dato’ Roslan Awang Chik.

Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata demikian sebagai mengulas laporan Harian Metro, hari ini mengenai 1,500 peniaga dan penenun songket Terengganu berkemungkinan terpaksa gulung tikar berikutan masalah lambakan songket dari India yang dijual di negeri ini tanpa sebarang sekatan pihak berkuasa menyebabkan pendapatan mereka merosot.

Menteri Besar turut mendedahkan kes penipuan yang dihadapi seorang individu ternama dari Terengganu namun tidak pengalaman mengenai songket Terengganu apabila terpedaya dengan taktik seorang peniaga di Pasar Kedai Payang selepas terbeli `songket tiruan’ berharga RM800 sehelai.

 “Bagi beliau bukan harga RM800 sebagai masalah, tetapi sikap menipu peniaga Pasar Kedai Payang yang menjual songket India tanpa memaklumkan perkara sebenar sesuatu yang amat dikesali.

“Jika Terengganu mahu kekal sebagai negeri pengeluar utama songket negara yang dikagumi dengan harga yang berpatutan, sepatutnya peniaga songket tidak membeli dan menawarkan kepada pelanggan songket dari India,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri tiada hak dan boleh menguatkuasakan sebarang akta bagi tujuan menghalang kemasukan songket import berkenaan, bagaimanapun sebagai peniaga yang mempunyai hati dan perasaan mereka harus berusaha memartabatkan songket Terengganu sebagai satu perniagaan yang eksklusif di Terengganu.

Menurutnya, bukan hanya Terengganu menjadi pengeluar songket, tetapi songket negeri ini sudah sinonim di kalangan peminat tekstil itu, selain memiliki kelas tersendiri dalam industri kraftangan dunia yang perlu dipertahankan oleh semua pihak.