Halaman

10 July 2013

Teruskan tradisi penyampaian sumbangan kepada surau dan masjid sempena Ramadhan

Oleh: Noraini Jusoh

Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir mengadakan majlis penyampaian sumbangan kepada masjid dan surau sempena bulan Ramadhan 1434H bertempat di Bangunan Penyelaras UMNO, DUN tersebut, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman berkata, seperti lazimnya ia diadakan pada setiap tahun dan menjadi tradisi DUN berkenaan, sejak enam tahun yang lalu.

"Kita serahkan barangan seperti kurma dan air zam-zam untuk kegunaan masjid dan surau bagi membantu mereka menyediakan juadah sampingan bagi majlis berbuka puasa serta moreh.

"Setakat ini, terdapat empat masjid dan 23 buah surau dalam DUN Seberang Takir dan semua mendapat sumbangan ini mengikut jumlah yang telah ditentukan,” ujarnya kepada Teganukita selepas menyempurnakan majlis penyampaian sumbangan tersebut.

Katanya, selain memberikan sumbangan kepada masjid dan surau, majlis yang diadakan juga bertujuan untuk meraikan iman, bilal dan juga jemaah sembahyang jenazah dalam DUN Seberang Takir.

"Kebiasaannya, majlis sedemikian diadakan pada hari pertama puasa ataupun sehari sebelum umat Islam menyambut bulan Ramadhan.

"Ia untuk memudahkan iman dan bilal turut serta kerana sepanjang bulan Ramadhan mereka sibuk menguruskan aktiviti masjid dan surau,” katanya.

Beliau mengharapkan sumbagan ini dapat memeriahkan dan mengimarahkan program-program ihya ramadhan yang diadakan di masjid mahupun surau dalam DUN berkenaan.