Halaman

02 July 2013

Terengganu juara Kategori Lampu Terbaik

Oleh: Suriati Ali dan Aida Abd Rahman

Keindahan dan Keunikan lampu yang dipaparkan pada bot berhias membolehkan Terengganu dipilih sebagai pemenang Kategori Lampu Terbaik sempena Pertandingan `Magic Of The Night’ di Persiaran Tasik Putrajaya, Kuala Lumpur yang berakhir malam kelmarin.

 Bot berhias ciptaan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menekankan beberapa keunikan, termasuk logo Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013, layar `Moosun Cup’, kubah Masjid Kristal, podium Wisma Darul Iman, songket dan batik membolehkan Terengganu layak menjuari kategori itu.

 Pertandingan yang berlangsung selama sembilan hari, iaitu bermula 22 hingga 30 Jun itu disertai 14 bot berhias. Majlis penyampaian hadiah kepada semua pemenang disampaikan Menteri Wilayah Persekutuan Malaysia Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Ketua Pegawai Eksekutif TMT 2013, Encik Ahmad Fathil Abdul Ghani, berkata sebanyak 14 bot berhias dengan pelbagai motif dan ikon pelancongan terkenal menonjolkan kehebatan masing-masing.

Katanya, juara keseluruhan bagi pertandingan itu dimenangi Putrajaya, manakala ketegori Paling Popular (Johor) dan kategori Bot Kreatif pula digondol Sabah.

“Dianjurkan buat kali ketiga, "Magic of the Night" yang diadakan sempena Floria Putrajaya (anjuran Pebadanan Putrajaya) telah menjadi acara tahunan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan semenjak tahun 2011 dan mendapat sambutan yang begitu menggalakkan daripada pengunjung tempatan dan asing.

 “Acara ini memaparkan perarakan bot-bot yang dihiasi dengan lampu berwarna-warni yang direka khas berdasarkan keunikan dan kreativiti para peserta serta bertemakan flora dan fauna, ikon serta produk-produk pelancongan dan kebudayaan yang menjadi tarikan mengikut negara, negeri atau organisasi masing-masing.,” katanya.