Halaman

09 July 2013

Tabung Haji Hotel tawar konsep pematuhan syariah kepada pelanggan

Oleh: Suriati Ali dan Nurul Suraya Abd Sukur (Pelatih)

Tabung Haji Hotel & Convention Centre Terengganu (THHT) menawarkan konsep pematuhan syariah atau “Shariah Compliance” kepada pelanggan sempena kedatangan bulan Ramadhan yang penuh keberkatan dan dinanti-nanti oleh semua penganut beragama Islam.

Menepati ciri pematuhan syariah, THHT menyediakan kolam tertutup untuk wanita, ruang mandi dan tandas yang berasingan di dalam bilik-bilik hotel. Selain itu, turut disediakan “wading pool” bagi kanak-kanak dengan konsep taman tema mini, Mananti Lounge yang dilengkapi kemudahan wifi secara percuma.

 THHT yang merupakan hotel empat bintang menyediakan 182 bilik yang luas dan selesa terdiri daripada Bilik Superior, Deluxe, Keluarga, Suite dan Apartment, dan juga bilik bagi golongan orang kurang upaya (OKU).

Dikenali juga sebagai pusat konvensyen, THHT menyediakan ruang dewan persidangan dan bankuasi yang terbesar di Terengganu, di mana mampu memuatkan 3000 orang pada satu masa, mempunyai empat bilik persidangan dan sembilan bilik mesyuarat.

 Mengambil keberkatan sempena Ramadhan, THHT menjemput anak-anak yatim Darul Hilmi, Persatuan Orang Cacat Penglihatan Malaysia Cawangan Terengganu dan rakan-rakan media untuk berbuka puasa di restoran eksklusif mereka, iaitu Restoren Lagenda.

 Selain itu, THHT juga menawarkan bufet Ramadhan dengan harga berpatutan, iaitu RM59.00 untuk dewasa dan RM41.00 untuk kanak-kanak.

 Pelanggan tidak perlu risau untuk mengerjakan solat kerana kemudahan surau yang luas turut disediakan kepada pengunjung. THHT juga membuat promosi untuk bilik, iaitu pada harga serendah RM180 beserta dengan sahur atau sarapan pagi untuk bilik Superior dan Deluxe sepanjang bulan Ramadhan ini.