Halaman

21 July 2013

Sokongan pengundi kepada BN makin bertambah

Laporan: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan 

Lawatan dari rumah ke rumah yang saya sendiri lakukan serta jentera parti mendapat sambutan baik dan menampakkan secara jelas bahawa pengundi suka orang pakai baju biru.

Sokongan pengundi yang semakin meningkat menambah keyakinan Barisan Nasional (BN) bagi meraih majoriti yang lebih selesa pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Kuala Besut, 24 Julai ini.

Ketua Penerangan Umno Malaysia, Dato’ Ahmad Maslan berkata, selepas penamaan calon pada 12 Julai lalu, sokongan terhadap BN semakin bertambah terutama calon yang ditonjolkan menepati citarasa dan kehendak pengundi.

“Semua program yang kita atur sama ada yang bercorak keagamaan seperti majlis berbuka puasa, bersahur dan tazkirah di masjid dan surau mendapat sambutan.

“Lawatan dari rumah ke rumah yang saya sendiri lakukan serta jentera parti mendapat sambutan baik dan menampakkan secara jelas bahawa pengundi suka orang pakai baju biru,” katanya ketika dtemui di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya yakin calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman mampu meraih majoriti yang selesa pada PRK ini berdasarkan sokongan yang ditunjukkan oleh pengundi di kawasan ini.

“Kita akan meninggunakan baki beberapa hari yang tinggal ini untuk meraih seberapa banyak lagi sokongan daripada pengundi di sini supaya mengundi calon BN,” katanya.

Dalam perkembangan lain, katanya, pada hari Selasa ini beberapa jabatan dan agensi di bawah Kementerian Kewangan akan mengadakan perkhidmatan kaunter bergerak di kawasan Kuala Besut.

Antara agensi yang terlibat ialah TEKUN, Amanah Ikhtiar Malaysia dan Tabung Haji yang bakal membuka kaunter masing-masing bagi kemudahan orang ramai melakukan pelbagai urusan.