Halaman

08 July 2013

Setiap sekolah digalakkan bertaddarus di bulan Ramadan : YB Ghazali

Oleh: Aida Abd Rahman

Setiap sekolah di negeri ini digalakkan mengadakan majlis taddarus al-Quran pada setiap Khamis sepanjang Ramadan ini sebagai usaha menyemarak dan meningkatkan ibadat di bulan yang penuh keberkatan, kata Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Inovasi & Tugas-tugas Khas negeri, YB Ghazali Taib.

Sehubungan itu, beliau meminta pentadbir sekolah merancang dan mengatur jadual bagi melaksanakan aktiviti itu dengan melibatkan semua guru dan juga pelajar Islam tanpa mengganggu modul pengajaran dan pembelajaran (P&P) mereka.

 “Kita menggalakkan murid dan guru bersama-sama bertaddarus secara berjadual. Maksudnya, guru yang tidak terlibat dengan pengajaran di waktu-waktu tertentu akan bertaddarus dan disambung oleh guru lain sehingga dapat menamatkan atau khatam al-Quran.

“Begitu juga dengan pelajar, pada setiap Khamis bermula 7.40 pagi mereka bersama-sama membaca Yassin dan seterusnya bersambung dengan program taddarus al-Quran,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Ramadan dan Hari Raya 2013 Radio Malaysia Terengganu, di Terengganu Equestrian Resort (TER), Kuala Ibai, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Penyiaran Terengganu, Puan Azizah Mohd Yusoff dan Pengarah Unit Komunikasi Negeri, Haji Shamsuddin Sulong.

YB Ghazali berkata, walaupun aktiviti itu bukan satu ketetapan oleh kerajaan negeri yang wajib dilaksanakan di semua sekolah, pihaknya tetap menggalakkan pentadbir sekolah mengambil peluang kedatangan bulan Ramadan untuk memperbanyakkan amalan yang mampu menyuburkan lagi ketakwaan sekali gus mampu menjadi contoh terbaik kepada pelajar khususnya dengan bertaddarus.

 “Kita tidak mahu menjadikan puasa atau Ramadan sebagai alasan untuk mengurangkan waktu belajar anak-anak kita di sekolah, kerana ia cukup penting. Cuma pada hari Khamis biasanya pada masa yang pertama kita digunakan untuk membaca al-Quran.

 “Tetapi dengan adanya jadual taddarus itu, P&P tidak berubah, kita anjak ke atas di mana waktu balik dilanjutkan sedikit atau kita kurangkan lima minit setiap waktu (jadual kelas), terdapat dua kaedah boleh kita gunakan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menggalakkan diadakan sesi taddarus itu pada waktu awal pagi setiap Khamis supaya tidak mengganggu P&P , bagaimanapun terpulang kepada pihak sekolah khususnya yang sekolah berasrama jika mahu diadakan aktiviti berkenaan selepas selesai waktu persekolahan.