Halaman

22 July 2013

PMPA sasar pelajar dari Eropah

Oleh; Esah Abdullah

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) akan memperkenalkan Program Mobaliti Pelajar Antarabangsa (PMPA)mulai tahun depan.

 Pengarah Pusat Komunikasi Korporat dan Antarabangsa, Prof. Dr Lua Pei Lin berkata, program PMPA ini mensasarkan pelajar-pelajar dari negara Eropah yang berminat mendalami budaya dan adat resam di negeri ini.

“Dua kursus ditawarkan bagi mereka yang ingin mengikuti program ini iaitu kursus persekitaran tropika dan budaya tropika di mana setiap kursus mengambil masa sebulan atau 28 hari,” katanya kepada pemberita di pejabatnya baru-baru ini.

Menurutnya, pelajar akan mengikuti kuliah seperti biasa diikuti latihan amali dan akan dibawa ke dalam hutan tropika untuk melihat flora dan fauna, menyusuri Tasik Kenyir iaitu sebuah tasik buatan terbesar di Asia serta memancing di tengah lautan.

Katanya, apabila balik ke kampus mereka akan membuat tugasan berdasarkan pengalaman dan pengetahuan yang mereka perolehi untuk dibentangkan bagi mendapat nilai kredit untuk persijilan mereka.

“Program ini sebenarnya pernah di buat di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) ibu kota dalam ciri yang lebih besar dan luas tetapi bila diadakan di Terengganu ia dilihat lebih unik kerana kelebihan negeri Darul Iman ini yang kaya dengan adat resam serta kebudayaan Melayu yang menebal,” katanya.

Contohnya, mereka akan didedahkan dengan corak ukiran rumah serta jenis rumah yang terdapat di sini, ukiran tembaga, mencating batik dan banyak lagi.

Selain itu katanya, jumlah pelajar dicadangkan mengikut nisbah 3:1 iaitu setiap tiga pelajar dari luar negara akan dibantu seorang pelajar tempatan di mana pelajar tempatan boleh ambil kesempatan mengenai budaya orang Eropah.

“Walaupun memulakan dengan 20 orang pelajar , program ini akan berterusan dan berharap jumlah itu akan meningkat dari tahun ke tahun,” katanya.

Katanya, mengenai yuran pengajian ia masih dalam peringkat perbincangan manakala tarikh kemasukan ke program ini kemungkinan akan mengikut jadual kemasukan pelajar baru di UniSZA.