Halaman

18 July 2013

KEMPEN 16:16, PAS TPU PENGUNDI

LAPORAN: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan 




Kempen 16:16 yang digunakan Pas sebagai senjata ampuh untuk menafikan peluang Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 24 Julai ini, merupakan strategi parti itu untuk cuba merampas kerusi tersebut dengan cara yang kotor.

Pengerusi BN Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, turut menegaskan Kempen 16:16 merupakan langkah terdesak Pas untuk menang PRK ini dan menimbulkan ketidakstabilan dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu yang diterajui BN.

“Pas cuba menipu rakyat dengan cara mengadakan isu 16:16 semata-mata untuk menafikan kedudukan BN sebagai Kerajaan Negeri Terengganu yang telah dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya umum yang lalu secara sah berdasarkan Perlembagaan Negara Malaysia,” katanya ketika ditemui Teganukita petang semalam.

Beliau menegaskan mengikut peruntukan sedia dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Terengganu, BN akan tetap menerajui kerajaan negeri walaupun ditakdirkan ia kalah pada pilihan raya kecil nanti.

“Undang-Undang Tubuh Negeri Terengganu secara jelas memperincikan kedudukan dan hak Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu (speaker). Dalam hal ini, BN mempunyai satu undi Speaker yang telah kita lantik selepas pilihan raya umum lalu.

“Ini secara tidak langsung membawa maksud BN masih mempunyai 17 undi dalam DUN Terengganu walaupun setelah kita kehilangan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Dr A Rahman Mokhtar yang kembali ke Rahmatullah baru-baru ini,” katanya.

Sehubungan itu, tidak timbul isu kedudukan 16 undi daripada BN dan 16 undi daripada pembangkang dalam DUN Terengganu jika Pas menang pilihan raya kecil ini.

 “Mengikut Undang-Undang Tubuh negeri Terengganu jika ditakdir pun kita (BN) kalah pilihan raya ini kita masih menjadi kerajaan dan pembangkang tetap jadi pembangkang…,” tegasnya. Beliau berharap pengundi di DUN Kuala Besut tidak terpengaruh dengan Kempen 16:16 yang dibawa oleh Pas kononnya pilihan raya akan diadakan semula di negeri ini jika calon mereka menang PRK.

“Ini hanya taktik kotor Pas yang mahu mengugat kestabilan politik yang telah dibentuk Kerajaan BN. Pas hanya mahu menimbulkan huru-hara dalam negeri jika keadaan politik tidak stabil,” katanya.

Dato’ Seri Haji Ahmad yakin rakyat tidak terpengaruh dengan kempen kotor Pas dan mereka akan tetap menyokong calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman pada pilihan raya kecil ini.

“Rakyat sudah dapat menilai apa yang telah dilakukan BN bukan saja di Kuala Besut, tetapi di seluruh negeri Terengganu.

 “Saya yakin mereka tidak akan terpengaruh dengan janji-janji pemimpin Pas walaupun mereka menjanjikan bulan dan bintang kepada penduduk Kuala Besut. Rakyat sudah serik menyokong Pas yang hanya pandai berjanji kosong,” katanya.


#prk kuala besut