Halaman

10 July 2013

Jangan guna masjid untuk berpolitik - Pesuruhjaya JHEAT

Oleh; Esah Abdullah

Semua pemimpin parti politik di negeri ini diingat supaya tidak menggunakan masjid atau surau bagi tujuan berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut yang akan diadakan pada 24 Julai depan.

Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Dato’ Haji Mohd Rozali Saleh berkata, masjid dan surau merupakan tempat ibadah umat Islam dan sebarang perkara yang boleh mencemar kesuciannya perlu dielakkan.

“Saya minta semua umat islam agar mematuhi peraturan serta tidak mengambil kesempatan ke atas masjid dan surau untuk tujuan politik kepartian,” katanya kepada pemberita di Pejabat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) semalam.

Katanya, kempen pilihanraya kecil yang dibuat pada bulan puasa hendaklah bersih daripada umpat mengumpat parti lawan sebaliknya katakan perkara yang baik-baik bagi menghormati kemuliaan Ramadan.

“Dosa memfitnah sangat berat iaitu 70 kali ganda daripada dosa riba’ dan mereka yang mendengar fitnah juga menerima sama seperti orang memfitnah,” katanya.

Tambahnya, bagi mengelak ibadah puasa menjadi sia-sia, adalah kebih baik bercerita tentang kebaikan parti masing-masing tanpa menyentuh keburukan parti lawan untuk menarik pengundi.