Halaman

10 July 2013

EMPAT KEKUATAN UTAMA BN DI PRK KUALA BESUT- DATO’ AHMAD MASLAN

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Dato’ Haji Ahmad Maslan membariskan empat fakta penting yang boleh membawa kemenangan dan sokongan rakyat kepada Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya kecil (PRK), Dun Kuala Besut.
  Perkara pertama ialah kestabilan negeri, mencakupi keperluan mewujudkan negeri yang stabil di bawah kerajaan yang ada sekarang pimpinan Dato’ Seri Haji Ahmad Said selaku Menteri Besar.
  Kerajaan BN Terengganu memerlukan kedudukan yang kekal kerusi 17- 15 untuk terus mewujudkan kestabilan dan tidak membawa kepada huru-hara dan permasalahan yang merugikan rakyat.
 Walaupun katanya, Yang DiPertua Dewan boleh menjadikan BN terus berkuasa, tetapi keadaan tidak stabil akan wujud dalam kerajaan dan negeri Terengganu jika hanya bergantung kepada keputusan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri.
  Oleh itu, tiada pilihan lain melainkan pengundi Kuala Besut perlu memastikan BN terus mendapat mandat 17-15 sepertimana sebelum ini, malah kedudukan yang lebih baik lagi dalam PRU 14 nanti.
 Perkara kedua ialah dengan sokongan padu Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak yang membawa banyak transformasi kepada Malaysia dan seterusnya membuat pelbagai kebajikan untuk rakyat dengan konsep mendahulukan kepentingan rakyat dalam segala perkara.
  “Lebih banyak lagi bantuan-bantuan untuk rakyat nikmati akan diadakan oleh Dato’ Seri Mohd Najib selaku Perdana Menteri,” katanya yang juga Timbalan Menteri Kewangan.
  Perkara ketiga ialah ‘pembangunan’ yang telah, sedang dan akan dilaksanakan bagi kepentingan penduduk Besut dan Kuala Besut.
 Beliau yakin dan percaya pembangunan dan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan akan dapat meningkatkan taraf sosio ekonomi penduduk Kuala Besut.
  Calon profesional muda yang dikemukakan oleh BN untuk penduduk Kuala Besut sudah pasti mempunyai pelbagai idea untuk membangunkan lagi pekan dan kawasan ini.
  Katanya, fakta yang terakhirnya ialah sokongan kepada BN adalah sebagai penyataan kesyukuran dan penghargaan rakyat Kuala Besut khususnya dan Besut amnya kepada Dato’ Seri Haji Idris Jusoh yang dilantik sebagai Menteri Pendidikan II dalam kabinet Malaysia.
 Menurutnya Kementerian Pendidikan adalah kementerian kanan yang mempunyai tanggungjawab yang besar dan penduduk Besut bertuah kerana Ahli Parlimennya terpilih sebagai Menteri di kementerian berkenaan.
 Beliau berkata demikian ketika bercakap kepada Pengarang Teganukita dan Unit Media Baru (UMB) Negeri Terengganu petang semalam.