Halaman

16 July 2013

Tadarus al-Quran antara pengisian Festival Ramadan UMT

Oleh; Esah Abdullah

Festival Ramadan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dipenuhi pengisian beberapa majlis ilmu dalam usaha mengimbangi antara tuntutan ukhrawi dan duniawi serta mendekatkan orang muda terhadap Islam agar mereka membentuk sahsiah dengan baik.

Pendaftar UMT, Mohd Nor Shukri Abdul Rahman berkata, antara aktiviti dijalankan ialah tadarus al-Quran disertai 30 orang peserta wanita yang mengambil masa sejam setiap hari bermula satu Ramadan lalu diikuti kaunter zakat di kawasan kampus (10 Julai – 7 Ogos) serta empat siri program Bicara Keluarga Sakinah dengan pengisian penceramah jemputan.

“Dalam siri pertama kita menjemput seorang tenaga pengajar di Universiti Madinah iaitu Prof Dr Mohd Kamil Ibrahim anak jati Besut, Terengganu dan penceramah seterusnya ialah Mufti Terengganu serta Pegawai Agama kepada Menteri Besar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada program Bicara Keluarga Sakinah (BKS) di Dewan Perpustakaan Sultanah Nur Zahirah UMT hari ini.

Katanya, pihaknya juga merancang turun ke komuniti (28 Julai) untuk menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan harian kepada 20 keluarga fakir miskin di Kampung Mengabang Telipot.

“Kita kumpul dana ini hasil sumbangan warga UMT sepanjang Ramadan dan ia akan diedarkan oleh sukarelawan belia Islam terdiri daripada pelajar kita,” katanya.

Beliau melahirkan rasa gembira kerana program BKS mendapat sambutan diluar dugaan dan tidak pernah terjadi sebelum ini dewan penuh sesak dengan orang ramai dan ini merupakan keberkatan bulan Ramadan serta personaliti jemputan yang menepati suasana semasa.