Halaman

25 July 2013

Bantuan Khas Aidilfitri ringan beban penjawat awam, pesara kerajaan

Oleh: Aida Abd Rahman

Bayaran Bantuan Khas Kewangan RM500 sebagai persiapan Aidilfitri kepada penjawat awam bagi Gred 1 hingga Gred 54 serta RM250 kepada 660,000 pesara kerajaan yang diumumkan semalam, memberi khabar gembira kepada golongan berkenaan.

Seorang penjawat awam, Mohd Hazli Mustafa, 30, bersyukur dengan bantuan khas berkenaan selepas beberapa minggu berteka-teki dan menunggu pengesahan sebenar mengenai `bonus’ hari raya itu.

 “Alhamdulillah, dengan wang RM500 itu dapat dijadikan perbelanjaan tambahan serta meringankan beban kami sekeluarga menyediakan kelengkapan hari raya, apatah lagi harga barang-barang semakin meningkat dari masa ke semasa.

“Ini membuktikan keprihatinan dan penghargaan kerajaan terhadap penjawat awam dan juga pesara khususnya ketika umat Islam sedang sibuk menguruskan persiapan hari raya yang bakal menjelang,” katanya.

Seorang lagi kakitangan awam, Malina Ali, 37, turut teruja dengan pengagihan wang hari raya yang mampu melancarkan urusannya menyediakan kelengkapan bersama tiga cahaya mata bagi meraikan lebaran yang bakal tiba tidak lama lagi.

 “Sebelum ini, penjawat awam agak berteka-teki dan tertunggu-tunggu dengan bonus yang dikatakan `mungkin tiada’, bagaimanapun sangkaan itu meleset memandangkan kerajaan masih cakna dan peka dengan keperluan rakyatnya terutama pada musim perayaan sebegini yang menuntut lebih belanja,” katanya.

Sementara isteri pesara kerajaan, Aliza Abd Rahman, 42, berkata walaupun jumlah itu kecil berbanding sebelum ini, dia tetap gembira dan berasa bersyukur dengan kesudian kerajaan menyediakan duit raya yang dapat menampung sedikit sebayak perbelanjaan mereka sekeluarga apatah lagi selepas kematian suami 16 tahun lalu.

“Sekurang-kurangnya dengan bantuan khas itu, dapat saya berbelanja untuk menyediakan makanan kegemaran anak-anak dan juadah istimewa di hari raya ketika berkumpul bersama-sama sanak saudara,” katanya.

Bayaran Bantuan Khas Kewangan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang diumumkan semalam, membabitkan peruntukan kewangan RM835 juta yang akan dibayar pada 31 Julai ini.

Selain pembayaran bantuan khas sebagai menghargai jasa bakti penjawat awam dan pesara itu, kerajaan turut melaksanakan dua Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) pada tahun ini yang turut diterima hari ini.

Pembayaran KGT membabitkan peruntukan kewangan RM1.3 bilion bagi 1.4 juta penjawat awam bagi tempoh enam bulan atau RM3.9 bilion setahun.

Sementara pembayaran KGT dan Bayaran Bantuan Khas Kewangan bagi meringankan beban kewangan bagi persiapan Aidilfitri pula melibatkan keseluruhan peruntukan RM4.7 bilion.