Halaman

02 July 2013

28 kakitangan Yayasan Terengganu terima APC

Oleh: Noraini Jusoh

Seramai 28 kakitangan Yayasan Terengganu menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) sebagai pengiktirafan terhadap komitmen mereka yang telah menunjukkan prestasi kerja mengagumkan sepanjang tahun 2012.

14 daripadanya turut menerima Insentif Lama Berkhidmat kerana menabur bakti melebihi 20 tahun dengan jabatan berkenaan.

Pengarah Yayasan Terengganu, Haji Zakaria Yusof berkata, penerima anugerah diharap terus mempertingkatkan mutu kerja di Yayasan Terengganu ke arah perkhidmatan yang lebih efektif, berkualiti tinggi, berwibawa dan penuh integriti.

"Bagi yang kurang bernasib baik pada kali ini diharap terus berusaha dan memberikan perkhidmatan cemerlang agar berpeluang untuk menerima anugerah sebegini pada masa akan datang.

"Namun, janganlah kita melaksanakan kerja yang diamanahkan kerana mengharapkan ganjaran dan pengiktirafan sahaja, sebaliknya meletakkan keikhlasan dalam bekerja sebagai batu asas untuk terus menabur bakti,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Yayasan Terengganu 2013 yang telah disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato' Haji Mazlan Ngah di Primula Beach Hotel, hari ini.

Tambah beliau, kecemerlangan sesebuah organisasi tidak bergantung kepada satu pihak semata-mata sebaliknya melibatkan semua peringkat dari pengurusan tertinggi hingga ke peringkat bawahan.

"Saya harap, warga kerja Yayasan Terengganu sentiasa mengamalkan budaya kerja yang berkualiti agar kualiti penyampaian perkhidmatan Yayasan Terengganu dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Pada majlis tersebut, setiap penerima APC menerima Sijil Perkhidmatan Cemerlang dan wang tunai sebanyak RM1000 manakala penerima Insentif Lama Berkhidmat pula mendapat hadiah tambahan sebanyak RM1000 dalam bentuk Sijil Simpanan Premium, Bank Simpanan Nasional (BSN).