Halaman

11 July 2013

10,000 dijangka sertai perarakan calon BN esok.


Menteri Besar Dato' Seri Ahmad Said diberitaklimat mengenai jentera PRK Kuala Besut oleh ADUN Jertih Muhamad Pehimi Yusof

Oleh: Mohammad Ishak  

Kira-kira 10,000 penyokong Barisan Nasional (BN) dari seluruh negara dijangka menyertai perarakkan mengiringi calon,Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman ke pusat penamaan calon di Kompleks Rakan Muda Besut,Kampung Raja, esok.

Ketua Umno Bahagian Besut, Dato' Seri Idris Jusoh berkata, perarakan itu diketuai Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kuala Besut bersama pemimpin tertinggi BN lain.

Idris yang juga Menteri Pendidikan II berkata,penyokong BN diminta hadir beramai-ramai kerana PRK itu bukan sahaja imej kepada BN Terengganu malah ia bagi meningkatkan maruah BN seluruhnya.

Katanya, semua penyokong BN juga diminta memakai baju berwarna biru sebagai simbolik kepada PRK Kuala Besut yan g bertemakan “Kuala Besut Bertambah Biru”.

Beliau berkata, walaupun penamaan calon dan pilihan raya diadakan pada bulan puasa diharap penyokong parti tetap keluar beramai-ramai untuk memberi sokongan kepada calon dan membangkitkan semangat perjuangan BN.

“Semua pemimpin tertinggi BN termasuk menteri, timbalan menteri, dan pemimpin sayap kanan parti komponen BN dijangkan hadi untuk memberi sokongan kepada calon terbabit,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat jentera parti di Damai Beach Resort malam tadi.

Dalam perkembangan lain, Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM1 juga bagi membaik pulih jalan di kawasan DUN Kuala Besut.

Katanya,Kuala Besut diberi perhatian bukan kerana diadakan PRK sebaliknya ia sudah dirancang oleh Allahyarham Dr A Rahman Mokhtar ketika menjadi wakil rakyat kawasan itu.

Antara projek untuk penduduk DUN itu ialah pembinaan 80 unit rumah mampu milik untuk nelayan di Kampung Kandang Lembu,yang akan dirasmikan majlis pecah tanah oleh Timbalan Perdana Menteri pada 13 Julai.

Selain itu,katanya, sebanyak 150 unit rumah pangsa di Kuala Besut sudah siap pembinaannya dan akan diagihkan kepada pemohon yang berjaya selepas PRK Dun berkenaan..