Halaman

10 July 2013

100 penguatkuasa JHEAT pantau umat Islam tidak puasa

Oleh; Esah Abdullah 

Umat Islam di negeri ini bakal dikenakan denda RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan makan di khalayak ramai sepanjang bulan Ramadan.

Pesuruhjaya JHEAT, Dato’ Haji Rozali Saleh berkata, tahun ini seramai 100 orang penguatkuasa dilantik untuk menjalankan tugas memantau pergerakan orang ramai bagi mengesan mereka yang tidak berpuasa serta makan dikhalayak ramai.

“Kita sudah kenalpasti kawasan dan tempat yang pada kebiasaan menjadi tempat mereka berkumpul dan makan dan tindakan akan diambil jika makan di khalayak ramai,” katanya.

Katanya, di samping rondaan yang dilakukan oleh penguatkuasa JHEAT, orang ramai diminta memberi kerjasama dengan melaporkan jika terdapat umat islam makan ditempat terbuka.

“Kerjasama semua pihak perlu bagi mengekang perkara yang memalukan umat Islam itu berleluasa serta mencemari bulan yang mulia ini,” katanya.

Menurutya, tahun lepas tidak ada sebarang kes yang di bawa ke mahkamah walaupun terdapat banyak aduan yang diterima daripada orang awam.

Katanya, aduan membeli makanan tidak boleh disabitkan dengan kesalahan tidak berpuasa kecuali jika mereka makan di restoran atau ditempat terbuka seperti di pantai dan sebagainya.

 Pernah terjadi katanya, bila mendapat aduan daripada orang ramai, mangsa sempat melarikan diri sebelum pihak penguatkuasa tiba dan itu perkara biasa berlaku.