Halaman

26 June 2013

Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kuala Besut tetap berlaku.


Ahmad Maslan,Idris Jusoh dan Ahmad Said di tanah perkuburan .

Oleh: Mohammad Ishak

Ketua Penerangan UMNO, Dato' Ahmad Maslan menolak kabar angin Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, tidak perlu diadakan berikutan kematian penyandangnya belum sampai tempoh 60 hari.

Katanya, apa yang tersebar di media maya yang menyebut PRK tidak akan diadakan seperti mana didakwa oleh sesetengah pihak adalah tidak benar dan tiada dalam mana-mana peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menurutnya, berikutan kematian Ahli Exco Kerajaan Terengganu, Dr A Rahman Mokhtar yang juga ADUN Kuala Besut, banyak tersebar di media maya terutama facebook yang mendakwa PRK tidak akan diadakan.

Katanya,dakwaan yang menyebut Mengikut Undang2 SPR bahagian 2 fasa 5 tiada PRK jika kematian ADUN dalam tempoh 60 hari selepas PRU, sebaliknya boleh digantikan dengan calon dari parti ADUN yang meninggal itu.Kuasa melantik ADUN terletak pada tangan Menteri Besar, adalah tidak benar.

 “Saya sudah menyemak perkara itu dengan SPR dan peguam Umno tiada undang-undang seperti itu sebaliknya PRK akan diadakan oleh SPR,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri upacara pengkembumian jenazah Dr A Rahman, petang tadi.

Sementara itu, Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said berkata, beliau menyerahkan perkara itu kepada SPR untuk membuat keputusan mengenai PRK DUN Kuala Besut.

Mengenai kematian Dr A Rahman, beliau bagi pihak kerajaan negeri mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham. Menteri Pelajaran II, Dato' Seri Idris Jusoh yang juga Ketua Umno Bahagian Besut berkata, parti kehilangan besar dengan pemergian Allahyarham Dr A Rahman.

Katanya,sepanjang tempoh arwah menjadi wakil rakyat beliau sentiasa bekerja keras terutama untuk pembangunan golongan nelayan di kawasan DUN berkenaan.