Halaman

13 June 2013

Peruntukan RM33.1j laksana sembilan projek utama pembangunan hutan Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman dan Noraini Jusoh

Kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM33.1 juta kepada Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu (JPNT) bagi mengurus dan melaksanakan sembilan projek utama pembangunan hutan di seluruh Terengganu, pada tahun ini.



Kesemua projek berkenaan melibatkan pengurusan sumber hutan, pembangunan sumber hutan, hutan lipur dan ekopelancongan, infrastruktur dan utiliti, pemuliharaan sumber, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) publisiti dan pengembangan perhutanan, kuantiti biji benih dan bekalan tanaman serta operasi dan penguatkuasaan.

Pengerusi Jawatankuasa Sains & Teknologi, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Air, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman, berkata kerajaan negeri tidak hanya mementingkan pembangunan ekonomi semata-mata dari kawasan hutan seluruh Terengganu.

“Kerajaan negeri turut memberi penekanan dan tumpuan kepada pengurusan hutan secara berkekalan supaya khazanah hutan negeri sentiasa terpelihara.

 “Bagi memastikan usaha pembangunan dan pemuliharaan hutan menerusi amalan silvikultur yang berkesan dan sempurna, kerajaan negeri memperuntukkan perbelanjaan RM33.1 juta pada 2013 dan mungkin tahun depan kita akan meminta peruntukan khusus untuk pemuliharaan dan pemeliharaan di kawasan pantai sahaja,” katanya kepada pemberita di Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Terengganu 2013, di Kampung Teluk Ketapang, Seberang Takir, Kuala Terengganu, hari ini.



Turut hadir, Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung malaysia, Dato' Prof Dr Abd Rahman Abd Karim; Pengarah JPNT, Haji Azmi Nordin dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaysia Terengganu, Prof Dr Mohd Effendy Abd Wahid.

Dato' Ahmad Razif kemudiannya bersama tetamu kenamaan dan peserta menanam anak pokok ketapang dan rhu pantai sebagai simbolik kepada kepentingan menjaga alam sekitar oleh semua pihak di kawasan pesisir pantai.

“Pantai Teluk Ketapang dipilih sebagai perintis program ini pada kali ini dan selepas ini akan diteruskan ke semua pesisir pantai kerana kita mahu melindungi berikutan usaha pemuliharaan lebih baik berbanding membaikpulih yang memerlukan kos amat tinggi selain mengakibatkan pembaziran kepada ekonomi negara.

“Oleh sebab itu, tindakan JPNT pada hari ini amat bijak. Malah, di Terengganu sendiri, kita masih lagi memiliki Hutan Simpan Kekal seluas 42 peratus atau 0.5444 juta hektar daripada keseluruhan keluasan negeri yang harus dilindungi oleh semua pihak,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri menerusi JPNT memberi penekanan supaya segala sumber khazanah perhutanan digunakan sebaiknya bagi menjamin keberkekalan sumber hutan yang kaya dengan sumber semula jadi serta kepelbagaian biologi.

Menurutnya, hutan merupakan penyumbang yang besar kepada pembangunan sosio-ekonomi negara, selain menyumbang faedah lain yang tidak ternilai seperti pemeliharaan tanah-tanih, kestabilan iklim, pemeliharaan kepelbagaian biologi dan mewujudkan kawasan rekreasi serta punca sumber air bersih.