Halaman

23 June 2013

PBT harus tingkatkan mutu perkhidmatan : MB


Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mahu pihak berkuasa tempatan (PBT) meningkatkan kualiti perkhidmatan mereka dan peka kepada keperluan rakyat termasuk menjaga keindahan dan kebersihan persekitaran.

"Saya masih tidak berpuas hati dengan tahap kebersihan di semua PBT di negeri ini dan berharap semua kakitangan PBT memainkan peranan mereka dalam menjaga persekitaran mereka cantik dan bersih.

"Kebanyakan PBT melantik kontraktor untuk mengekalkan kebersihan kawasan mereka masing-masing, tetapi penyeliaan perlu dilakukan lebih kerap bagi memastikan kerja pembersihan dilakukan dengan baik," katanya pada Majlis Makan PBT dan penyampaian hadiah di Marang, malam tadi.

Dato’ Seri Haji Ahmad juga mengingatkan beberapa kakitangan PBT yang gagal melaksanakan tugas dengan baik boleh berdepan dengan tindakan dipindahkan ke jabatan lain sebagai amaran bagi meningkatkan mutu perkhidmatan.