Halaman

26 June 2013

MB lawat keluarga Adun Kuala Besut petang ini

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, dijadualkan melawat keluarga bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Negeri, Allahyarham Dr A Rahman Mohtar, di kediamannya di Kuala Besut petang ini.

Beliau yang berada di Kuala Lumpur bagi menghadiri mesyuarat Majlis Raja-Raja, akan menaiki pesawat dari ibu kota dan mendarat di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu dan terus ke Kuala Besut.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Besut, meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu jam 10.18 pagi tadi.

Beliau meninggalkan seorang balu, Hajah Azizah M Omar, 53 serta empat, iaitu tiga perempuan dan seorang lelaki. Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang, ketika dihubungi Teganukita mengesahkan mesyuarat Exco Terengganu yang dijadualkan di Hotel Hilton, Kuala Lumpur, jam 3 petang ini turut dibatalkan bagi membolehkan Exco melawat keluarga Allahyarham Dr A Rahman.

“Semua Exco telah pulang ke Terengganu bagi melawat keluarga Allahyarham sebaik saja mendapat berita mengenai kematian Allahyarham,” katanya.

Difahamkan, jenazah Allahyarham sudah dibawa pulang dari Kuala Terengganu selepas dimandikan, dikafan dan disembahyangkan untuk dikembumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Telok Bayu, Kuala Besut.

Orang ramai, terutama penduduk sekitar DUN Kuala Besut dijemput menyertai solat jenazah yang akan diadakan di Masjid Kampung Teluk Bayu selepas solat zohor.