Halaman

15 June 2013

Kematian disyaki Leptospirosis, JKNT jalankan siatan lanjut

Oleh: Noraini Jusoh

Hasil ujian saringan darah yang dijalankan pihak hospital terhadap seorang pesakit berumur 47 tahun yang meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada 8 Jun lalu kerana disyakki akibat jangkitan Leptospirosis atau kencing tikus adalah negatif.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Dato’ Dr. Anwa Sulaiman berkata, walau bagaimanapun, pihaknya tidak memandang ringan perkara tersebut dan telah menjalankan siasatan ke atas 63 ahli keluarga serta rakan yang menjalankan aktiviti bersama mangsa di Pulau Bidong dan mendapati mereka semua sihat.

"Sebagai langkah pencegahan dan kawalan Leptospirosis di Pulau Bidong, pihak JKNT telah membuat penilaian risiko persekitaran yang meliputi tempat penyediaan makanan, stor makanan, pengurusan sisa makanan dan sampah yang boleh mengundang kehadiran tikus selain terhadap kemudahan yang disediakan seperti tandas dan bilik mandi.

"Selain itu, 16 sampel persekitaran iaitu 11 sampel air dan lima sampil tanah juga diambil di mana keputusan persampelan dijangka akan diperolehi selepas enam minggu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Kesihatan Sedunia Peringkat Negeri Terengganu 2013 di Kuala Terengganu, kelmarin.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Dr. Haji Mohd Jusoh dan Pegawai Kesihatan Daerah Kuala Terengganu, Dr. Hajah Balkis Ab. Karim.

Dr. Anwa berkata, Leptospirosis adalah penyakit berjangkit dengan pelbagai gejala klinikal, yang terdiri daripada penyakit ringan seperti selsema sehingga ke penyakit yang teruk dengan gejala berdarah dan kegagalan multi organ.

Katanya, selain tikus, haiwan pembawa kuman Leptospirosis adalah mamalia seperti lembu, anjing, musang, arnab dan lain-lain.

"Haiwan-haiwan ini bertindak sebagai pembawa kuman leptospires dan mengeluarkan kuman melalui air kencing yang menyebabkan pencemaran air dan tanah,” ujarnya.

Tambah beliau, risiko untuk jangkitan adalah melalui pendedahan dari pekerjaan atau aktiviti rekreasi tanpa perlindungan yang betul.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar melakukan pencegahan dan menjaga kebersihan seperti memakai pakaian perlindungan yang kalis air semasa melakukan aktiviti yang terdedah kepada air atau tanah disamping sentiasa menjaga rumah dan premis agar bebas daripada tikus dan pembawa kuman yang lain.