Halaman

14 June 2013

JKNT anjur sambutan hari kesihatan sedunia

Oleh: Noraini Jusoh

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) telah menganjurkan Sambutan Hari Kesihatan Sedunia Peringkat Negeri Terengganu 2013 di Kuala Terengganu, semalam.

Pengarah JKNT, Dato’ Haji Dr. Anwa Sulaiman berkata, bertemakan‘hipertensi’ ataupun tekanan darah tinggi, pelbagai aktiviti dilaksanakan untuk memberi kesedaran dan maklumat berkaitan hipertensi kepada orang ramai.

“Sepanjang sehari program berlangsung, aktiviti dimulakan dengan acara kayuhan sihat membabitkan 100 kakitangan yang berkayuh sejauh 7.8 kilometer untuk mempromosikan amalan cara hidup sihat disamping memberi kesedaran supaya kekal aktif bagi mengurangkan risiko hipertensi dan penyakit kardiovaskular.

"Seminar, pameran dan pemeriksaan kesihatan turut diadakan untuk memberi lebih pendedahan mengenai penjagaan kesihatan khususnya berkaitan hipertensi kepada orang ramai,” ujarnya dalam ucapan perasmian sempena program tersebut.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Dr. Haji Mohd Jusoh dan Pegawai Kesihatan Daerah Kuala Terengganu, Dr. Hajah Balkis Ab. Karim.

Katanya, bagi menangani dan mencegah penyakit darah tinggi, orang ramai dinasihatkan melakukan pemeriksaan kesihatan secara rutin dan menghadkan pengambilan garam kepada kurang daripada lima gram sehari.

"Kita juga perlu melakukan aktiviti fizikal seperti bersenam sekurang-kurangnya 30 minit sehari dari tiga hingga lima kali seminggu untuk sentiasa aktif disamping kekalkan BMI unggul kerana pengurangan berat badan mampu mengurangkan risiko mendapat penyakit kardiovaskular dan diabetes.

"Kepada yang merokok boleh ke Klinik Berhenti Merokok di Klinik Kesihatan dan hospital berdekatan untuk mendapatkan khidmat nasihat untuk berhenti merokok,” ujarnya.

Tambah beliau, orang ramai juga perlu pandai menangani stress dengan melakukan perkara seperti bertenang, berehat dan mendengar muzik, beriadah dan sebagainya.

Katanya, sekiranya tindakan tersebut dijadikan amalan orang ramai mampu mencegah dan mengawal penyakit hipertensi sekali gus terus sihat dan terhindar dari penyakit berbahaya itu.