Halaman

09 May 2013

Tourism Malaysia Terengganu anjur program candat sotong

Oleh: Suriati Ali

Pejabat Tourism Malaysia Terengganu akan menganjurkan Program Candat Sotong Bersama Media dan Persatuan Sukan Artis Malaysia di perairan Pulau Kapas, Marang.

 Program bertujuan memperkenalkan produk pelancongan sukan air itu diadakan sempena Terengganu Water Fiesta 2013 dan berlangsung pada 18 hingga 19 Mei ini.

 Pengarah jabatan itu, Encik Mohd Nasir Kushairi, berkata kira-kira 100 peserta dijangka mengikuti program yang mampu memberi pendedahan, idea serta rangsangan kepada agensi pelancongan Terengganu bagi menghasilkan pakej sukan air bertaraf antarabangsa.

Kataya, pada masa sama, ia mampu menjalin hubungan erat antara Tourism Malaysia Terengganu dengan pengusaha pelancongan tempatan dalam konteks meningkatkan kesedaran berkaitan promosi industri pelancongan di mata masyarakat.

“Aktiviti candat sotong sememangnya sinonim di Terengganu dan penganjuran program itu akan menjadi tarikan terbaru pelancong ke negeri ini.

“Malah, kita yakin jumlah pengunjung dan peserta akan meningkat jika terus menganjurkan program seumpama ini,“katanya.

Encik Mohd Nasir Kushairi,pemilihan perairan Gong Kapas sebagai lokasi karnival amat tepat seiring dengan kedudukan pantainya yang menghadap Laut China Selatan apatah lagi aktiviti mencandat sotong hanya boleh diadakan di Pantai Timur terutama Terengganu.