Halaman

22 May 2013

TDM perluas operasi menjelang 2018

Oleh: Noraini Jusoh

Selaras dengan matlamat mengembangkan perniagaannya, TDM Berhad akan memperluaskan dua kali ganda saiz ladang dan tiga kali ganda operasi hospital menjelang 2018.

 Menurut jurucakap TDM Berhad, dalam sektor perladangan kelapa sawit, Kumpulan TDM mensasarkan untuk mencapai sebanyak 70,000 hektar tanah miliknya dapat ditanam bagi kedua-dua ladang di Terengganu dan Kalimantan daripada keluasan sebanyak 40,518 hektar yang ditanam setakat ini.

Kawasan penanaman kelapa sawit milik TDM di Kalimatan, Indonesia.
"Bagi memacu perniagaan perladangan pada masa hadapan, Kumpulan TDM telah mengenal pasti kawasan pertumbuhan seterusnya iaitu di Kalimantan memandangkan kesemua ladang kepunyaan TDM di Terengganu telah di tanam kelapa sawit.

"Manakala, bagi bahagian penjagaan kesihatan pula, Kumpulan TDM telah menetapkan matlamat untuk memperbesarkan operasi hospital,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, Kumpulan TDM akan menambah bilangan katil dan hospital serta memperluas jenis perkhidmatan bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat disamping meninjau pasaran baru seperti di Kota Bharu untuk mengukuhkan lagi kedudukan pasaran sebagai pembekal perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta terunggul di pantai Timur.

"Program perluasan dan pengembangan operasi hospital adalah sebagai langkah untuk mempersiapkan bahagian ini untuk penyenaraian awam dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

"Dengan penyenaraian tersebut, Kumpulan TDM akan menjadi sebuah syarikat penjagaan kesihatan ketiga terbesar yang disenaraikan di Malaysia,” ujarnya.